Kelayakan Liga Juara-Juara, Celtic seri lagi

PARIS, 21 JULAI – Sudah 54 tahun berlalu sejak Celtic mengejutkan gergasi Eropah, Inter Milan untuk muncul sebagai pasukan British pertama dalam sejarah memenangi Piala Eropah.

Tetapi perjalanan pasukan Glasgow masih jauh untuk melayakkan diri ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim ini selepas terikat 1-1 menentang wakil Denmark, Midtjylland pada aksi pertama pusingan kedua kelayakan, semalam. Pengendali skuad itu, Ange Postecoglou hanya mampu mengimpikan kejayaan yang pernah dicapai Jock Stein pada 1967 selepas membuka kempen bersama pasukan baharunya itu dengan keputusan seri.

Bekas pemenang Liga Jepun bersama Yokohama F Marinos itu menyaksikan kedua-dua pasukan menamatkan saingan dengan 10 pemain dan pemain sayap muda dari Israel, Liel Abada meledak gol pada penampilan pertamanya di hadapan 9,000 penonton di Parkhead.

Bagaimanapun, Celtic terlebih dahulu kehilangan pemain apabila pertahanan, Nir Bitton mengutip kad kuning kedua disusuli pemain sayap Midtjylland, Anders Dreyer selepas sengaja merebahkan badan sebelum Evander mengikat kedudukan pada minit ke-66 untuk menjadikan aksi kedua lebih sengit.

“Ia keputusan mengecewakan,” kata Postecoglou, bekas jurulatih Socceroos. – AFP