Kelayakan Piala Dunia 2022 ditangguhkan

MIAMI, 9 SEPT – Badan induk bola sepak di Amerika Utara, Amerika Tengah dan Kepulauan Caribbean (CONCACAF) mengesahkan awal pagi tadi kelayakan Piala Dunia 2022 yang sepatutnya dilangsungkan Oktober dan November ditangguhkan sehingga 2021 berikutan pandemik Covid-19.

CONCACAF berkata dalam satu kenyataan aksi kelayakan itu akan dilangsungkan pada Mac tahun depan dan keputusan itu dibuat secara bersama dengan badan bola sepak dunia, FIFA.

“Kebanyakan kawasan di benua ini kembali berdepan cabaran mengenai situasi kesihatan dan itu menjadi kunci utama di atas keputusan ini.

“Selain itu, beberapa negara di benua ini mempunyai larangan perjalanan dan memerlukan kuarantin, yang akan menyebabkan saingan bola sepak membabitkan 30 pasukan kebangsaan berdepan kesukaran,” kata CONCACAF dalam satu kenyataan. – AFP