Kelayakan Piala Dunia: Mane bantu Senegal atasi Namibia

JOHANNESBURG, 10 OKT – Bintang Liverpool, Sadio Mane (gambar) adalah antara penjaring gol ketika Senegal meraih kemenangan 4-1 ke atas Namibia semalam dan semakin hampir layak untuk pusingan final Piala Dunia di Afrika.

Satu lagi kemenangan ke atas Namibia pada Selasa ini akan mengesahkan tempat dalam Kumpulan H untuk Senegal, yang mengejar penampilan kedua berturut-turut di Piala Dunia.

Kemenangan perlawanan hari ke-3 di Thies berhampiran Dakar membawa Senegal kepada sembilan mata sementara Namibia mengutip empat mata, Congo Brazzaville dua mata dan Togo satu mata. Namibia perlu berdepan Senegal buat kali kedua dalam masa empat hari di Soweto di pinggir Johannesburg kerana mereka tidak mempunyai stadium bertaraf antarabangsa.

Pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Idrissa Gueye menjaringkan gol pendahuluan buat Teranga Lions di Senegal dan Famara Diedhiou menggandakan kedudukan sebelum rehat.

Setelah Mane meraih gol ketiga dalam kempen kelayakan di minit ke-55, Joslin Kamatuka berjaya menjaringkan gol buat Namibia namun Keita Balde memberikan gol kemenangan selesa buat Senegal.

Di Casablanca, Ayoub el Kaabi menjaringkan dua gol ketika Maghribi berjaya merangkul kemenangan 3-0 dalam Kumpulan I ke atas Guinea-Bissau dan Maghribi mampu menempah awal tiket ke pusingan akhir pada Selasa ini.

Maghribi akan menentang Guinea dalam perlawanan seterusnya yang dijadualkan semula di Rabat dan kemenangan akan memberi Maghribi kelebihan lapan mata yang kelihatan mustahil untuk dipintas ketika mereka mengejar kemunculan Piala Dunia yang keenam.

Afrika Selatan kekal satu mata di depan Ghana dalam Kumpulan G setelah kedua-dua negara meraih kemenangan 3-1. Afrika Selatan mengatasi Ethiopia yang berada di tempat ketiga di Bahir Dar sementara Ghana menewaskan Zimbabwe di Cape Coast. Kapten dan penjaga gawang Ronwen Williams melakukan beberapa aksi mengagumkan pada separuh masa pertama yang luar biasa untuk menyelamatkan Afrika Selatan, yang mendahului perlawanan sebelum rehat menerusi jaringan Teboho Mokoena. – AFP