Kelayakan Piala Dunia, Piala Asia ditunda

KUALA LUMPUR, 12 OGOS – Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) telah menunda kesemua jadual perlawanan kelayakan lelaki pada bulan Oktober dan November bagi Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

AFC dan FIFA telah mengeluarkan kenyataan bersama hari ini dengan menyatakan keputusan untuk menunda perlawanan adalah bagi menjaga kesihatan dan keselamatan semua pihak yang mengambil bahagian semasa pandemik COVID-19. Perlawanan-perlawanan tersebut akan dijadualkan semula pada 2021.

Liga Domestik telah disambung semula di China, Korea Selatan, Jepun dan Australia tetapi mengikut protokol kesihatan yang ketat.

Kira-kira 40 buah pasukan kebangsaan yang terlibat dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Asia, yang sudah tertunda pada bulan Mac dan Jun ketika wabak koronavirus melanda rantau tersebut.

Pendahulu Kumpulan F, Jepun telah mencatat empat kemenangan dari empat perlawanan tanpa bolos. Manakala Korea Selatan, yang layak ke pusingan separuh akhir Piala Dunia 2002, mengumpul lapan mata dalam kumpulan H dengan Korea Utara dan Lubnan, ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Turkmenistan.

Australia yang mendahului Kumpulan B mencatat empat kemenangan, dua mata di hadapan Kuwait dan Jordan, manakala Syria memenangi lima perlawanan berturut-turut untuk mendahului Kumpulan A dengan lapan mata dari China dan Filipina. – AP