Kelebihan bekam alternatif rawatan kesihatan diri

Oleh Yusrin Juniadi

Amalan berbekam merupakan rawatan alternatif yang dipercayai berkesan dan baik untuk kesihatan serta mempunyai banyak manfaatnya di samping ia juga sunnah Nabi Muhammad yang telah diamalkan semenjak ribuan tahun dahulu.

Amalan berbekam mengeluarkan darah kotor dalam tubuh dipercayai dapat mengurangkan pelbagai gejala penyakit.

Berbekam adalah kaedah membuang toksin dengan mengeluarkan darah kotor daripada permukaan kulit sepertimana yang diamalkan Rasulullah SAW dan para sahabat.

Prosedur bekam basah atau atau bekam darah dilakukan mengikut syarat asas membantu mengurangkan derita segala penyakit antaranya darah tinggi, jantung, migrain dan kolesterol.

Bagi mereka yang mengidap kencing manis, kurang darah serta penyakit serius lainnya adalah dinasihatkan untuk berjumpa atau bertanya doktor terlebih dahulu sebelum berbekam.

Antara tatacara berbekam menyapukan kawasan yang hendak dibekam dengan minyak zaitun.
Sukatan dengan jari menentukan bahagian penting untuk dibekam.
Titik-titik penting berbekam di bahagian belakang badan pesakit.
Selepas bekam angin, barulah dicucuk dengan jarum khas untuk mengeluarkan darah kotor.

Berbekam memang sudah wujud sejak zaman Greece kuno ribuan tahun dahulu dan pada zaman Nabi Muhammad SAW, para pengamal menggunakan tanduk kerbau atau sapi, tulang unta dan gading gajah.

Namun pada zaman moden ini, berbekam menggunakan teknologi terkini mudah didapati di pasaran.

Walaupun alat berbekam tidak lagi menggunakan seperti tanduk kerbau dan sebagainya, namun cara berbekam dengan teknologi terkini adalah sama sahaja.

Faedah berbekam

Pengamal perubatan alternatif terapi (bekam), Awang Afendi ketika ditemui berkata, berbekam mempunyai banyak faedah antaranya membantu menghilangkan sakit kepala dan migrain, membantu membuang angin dalam badan, melegakan pernafasan dan sistem perkumuhan, membantu memecahkan lemak, membantu memulihkan ketegangan urat leher, pinggang dan urat sendi di kaki, membantu mencegah kebas kaki dan membantu meredakan serangan angin ahmar serta mengeluarkan darah toksik dan melancarkan peredaran darah tersumbat.

Kesemua faedah yang dinyatakan di atas adalah bergantung kepada individu. Ada yang mengalami salah satu penyakit yang disebutkan di atas atau pun sebahagian daripadanya. Rawatan juga hendaklah dibuat beberapa kali sehingga menampakkan hasil.

Terapi berbekam mengurangkan kesakitan

Rawatan tradisional berbekam juga merupakan terapi alternatif bagi mengurangkan kesakitan.

Sebagai contoh, berbekam menge-luarkan darah kotor dan toksin daripada badan cara torehan, menggunakan tanduk, cawan panas dan teknologi terkini yang ditelungkupkan pada tempat ditusuk menggunakan jarum.

Darah yang keluar daripada kesan tusukan adalah sel darah merah yang kotor dan rosak selepas 120 hari.

Berdasarkan tempoh itu, perawat menggalakkan rawatan bekam basah dilakukan tiga atau empat bulan sekali. Jika darah kotor tidak dibersihkan dan hanya mengalir di sekitar salur darah, kesannya boleh menyebabkan saluran tersumbat.

Jika zaman dulu, kaedah torehan menggunakan pisau cukur khas yang diubah suai, namun pada zaman ini telah menyediakan jarum khas untuk mengeluarkan darah dari tusukan jarum-jarum kecil pakai buang setiap kali digunakan.

“Kebanyakan pengamal bekam selesa menggunakan jarum khusus bekam untuk mencucuk bahagian yang hendak dibekam,” katanya.

Bekam api

Berbekam mempunyai banyak cara, bekam api atau dikenali sebagai fire cupping seperti namanya bekam ini menggunakan medium api sebagai.

Bekam ini dilakukan dengan gelas yang direka bentuk khusus untuk membuat ruang hampa gas pada kawasan bekam. Namun, di Negara Brunei Darussalam jarang sekali pengamal perubatan bekam menggunakan kaedah ini.

Bekam basah

Bekam basah adalah kaedah bekam yang sering kita dengar di negara ini. Ia dilakukan dengan bekam kering dahulu kemudian permukaan kulit yang tusukan jarum kecil yang disterilkan terlebih dahulu, kemudian disedut dengan menggunakan alat cupping set dan hand pump untuk mengeluarkan darah kotor melalui luka tusukan tadi.

Kaedah bekam basah dilakukan selama tiga hingga lima minit dan tidak boleh melebihi daripada sembilan minit.

Penyedutan darah boleh dilakukan maksimum tujuh kali dan tidak boleh lebih. Ini kerana prosedur yang telah ditetapkan kepada pengamal perubatan berbekam.

Biasa pada bahagian yang disedut akan mengeluarkan darah berwarna merah kehitaman dan berbuih. Di sini bagi mereka yang lebih arif tentang darah akan mengetahui maknanya dengan hanya melihat darah tersebut.

Bagi mereka yang mengamalkan bekam basah adalah disarankan untuk tidak mandi setelah tiga jam dan menjarakkan waktu berbekam selama tiga minggu sekali.

Bekam kering

Sama seperti bekam basah, akan tetapi bekam kering agak berbeza, ia juga dikenali sebagai bekam angin, kaedah bekam ini adalah dengan menyedut permukaan kulit tanpa mengeluarkan darah dari badan.

Bekam ini biasa digunakan untuk mengatasi rasa sakit-sakit badan yang disebabkan bekerja lewat malam dan sebagainya.

Bekam jenis ini akan meninggalkan kesan lebam berwarna merah kehitam-hitaman pada tempat yang dibekam dan akan hilang dalam beberapa hari kemudian.

Patuhi titik 10 bekam

Terdapat 10 titik bekam tradisional mengikut sunnah pada seluruh tubuh tetapi boleh lebih banyak mengikut masalah jenis penyakit yang dihadapi berdasarkan keperluan setiap individu.

Biarpun titik bekam boleh dilakukan seluruh tubuh, namun rawatan itu tidak boleh dilakukan terlalu banyak untuk satu sesi.

Pesakit disarankan melakukannya pada kuantiti lima hingga 10 cawan untuk satu sesi rawatan.

Jumlah darah yang keluar dari tubuh juga tidak boleh terlalu banyak. Dianggarkan antara 50 hingga 60 mililiter (ml) sekali rawatan kerana bimbang boleh memudaratkan kesihatan.