Kelebihan sabun susu keldai tarik minat pelanggan

MADABA, JORDAN – Pada mulanya rakan-rakan dan keluarga mengejek satu usaha baharu sebuah keluarga di Jordan yang menghasilkan sabun daripada susu keldai. Tetapi sekarang, setahun kemudian, syarikat ini semakin maju disebabkan permintaan yang meningkat di kalangan pelanggan.

Atan Donkey Milk Soaps menghasilkan 100 peratus sabun asli dari ladangnya di Madaba, 35 kilometer barat daya Amman, di mana ia memelihara 12 ekor keldai dan sebuah bengkel pembuatan kecil di ibu kota Jordan.

Walaupun kawasan lain di sekitar Mediterranean menghasilkan sabun daripada susu keldai, namun ini adalah yang pertama di Jordan.

“Pada awalnya, banyak yang mentertawakan idea itu,” kata Emad Attiyat, 32, pengasas bersama projek yang mengambil namanya daripada Bahasa Arab bagi seekor keldai jenny atau betina, ‘atan’.

Mereka yang meragukan idea tersebut mencemuh dengan berkata mereka ‘tidak akan menggunakan apa-apa pada kulit mereka yang berkaitan dengan keldai,” tambah Attiyat yang memiliki ijazah dalam Sistem Maklumat Pengurusan.

Tetapi ‘setelah mencuba sabun tersebut, semuanya berubah, dan sekarang kami menghasilkan lebih daripada 4,500 buku sabun sebulan untuk memenuhi permintaan,” katanya, sambil berdiri di sebelah gudang tempat haiwan itu ditempatkan.

Seorang pekerja memerah susu keldai betina di ladang yang diuruskan oleh Atan Donkey Milk Soaps. – AFP
Pengasas bersama Atan Donkey Milk Soaps, Emad Attiyat ketika ditemui di sebuah ladang yang dikelolanya di Madaba, kira-kira 35 kilometer di barat daya ibu kota Jordan, Amman. – AFP
Salma al-Zubi, ibu dan rakan perniagaan Emad Attiyat, pengasas bersama Atan Donkey Milk Soaps. – AFP
Emad Attiyat menuang campuran bahan semula jadi dengan susu keldai ke dalam acuan sabun di makmal syarikatnya. – AFP
Atan Donkey Milk Soaps menghasilkan 100 peratus sabun asli dari ladangnya di Madaba, 35 kilometer barat daya Amman. – Agensi

Mengurangkan penuaan

Susu keldai dikatakan kaya dengan mineral dan protein yang dapat membantu melembapkan kulit. Ia juga memiliki antioksidan yang tinggi, yang melindungi kulit daripada sinar matahari dan kesan penuaan, menurut pakar kecantikan.

Satu liter susu menghasilkan kira-kira 30 sabun buku, tetapi memerah susu setiap keldai betina adalah tugas yang sukar dilakukan dengan bantuan pam elektronik yang dipegang.

Setiap keldai harus diperah susunya tiga kali sehari untuk mendapatkan satu liter cecair, dan meninggalkan satu liter lagi untuk anaknya. Susu dibekukan dan kemudian dipindahkan ke bengkel syarikat di Amman untuk menghasilkan sabun.

Penyelidikan menunjukkan susu keldai dapat “membantu menjana semula sel kulit, mengurangkan tanda-tanda penuaan dan membantu menyembuhkan beberapa penyakit kulit seperti eczema,” kata ibu Attiyat, Salma Al-Zubi.

Dialah yang muncul dengan idea untuk mencuba usaha tersebut. Seorang aktivis alam sekitar dan seorang guru yang sudah bersara, katanya sabun susu keldai menyumbang untuk menyeimbangkan tahap kelembapan kulit, menghilangkan kedutan serta kesan bintik-bintik dan jerawat.

Sekarang berusia 60an, dia membantu mencampurkan bahan-bahan di bengkel syarikat mereka di Amman dalam mangkuk besi besar, memakai topeng muka putih dan sarung tangan biru. Minyak zaitun, minyak badam, minyak kelapa dan juga mentega syea ditambahkan ke dalam susu keldai untuk menghasilkan sabun yang kemudian dijual melalui laman Facebook mereka.

Sebuku sabun seberat 85 gram berharga lapan dinar Jordan (AS$11), sementara sebuku sabun seberat 125 gram dijual dengan harga sepuluh dinar (AS$14). Sebagai perbandingan, satu liter susu keldai di Eropah dapat mencapai setinggi 60 euro, dan digunakan untuk membuat beberapa keju yang mahal.

Menyediakan peluang pekerjaan

Attiyat kini berharap dapat meluaskan pengeluaran untuk krim dan losyen wajah dan tangan. Susu keledai “kaya dengan protein dan mineral termasuk magnesium, copper, sodium, manganese, zinc, kalsium dan zat besi, semuanya sangat penting untuk kulit,” kata pakar diet, Susanna Haddad, yang bekerja di sebuah pusat kecantikan di Amman.

Ia mengandungi ‘peratus whey yang lebih tinggi, yang mempunyai sifat antimicrobial’ dan juga dapat mencegah pertumbuhan virus dan bakteria.

Ketika dia mencampurkan campuran itu ke dalam acuan silikon khas untuk membentuk buku sabun pada bulan berikutnya, Zubi mengatakan usaha itu telah memberi peluang pekerjaan kepada beberapa ahli keluarga “termasuk anak saya Emad, yang telah bertahun-tahun menderita pengangguran”.

Ekonomi Jordan yang sudah lemah telah terjejas teruk oleh sekatan dan penutupan sepanjang tahun yang berlaku semasa pandemik COVID-19. Angka kemiskinan, menurut angka rasmi, meningkat kepada sekitar 15.7 peratus pada akhir 2020, sementara perkiraan mengatakan ia dapat melambung lebih dari 24 peratus tahun ini.

Pengangguran juga meningkat pada suku pertama 2021 hingga mencapai 25 peratus, atau 50 peratus di kalangan belia di negara yang hutang awam melebihi AS$48 bilion, atau lebih dari 108 peratus dari produk domestik kasar (PDB).

Pelanggan setia, peguam Esraa al-Turk, 48, mengatakan dia tertarik dengan sabun susu keldai kerana ia adalah produk semula jadi.

“Saya menjaga kulit saya,” katanya, sambil menambah walaupun dia tidak banyak memakai solekan, dia sekarang “menjadi lebih berani meninggalkan rumah tanpa kosmetik di wajah.” – AFP