Kelemahan penguatkuasaan pengurusan punca pencemaran

KUALA LUMPUR – Biar tidak ada elektrik jangan tiada air. Itu ayat yang sering kita dengar setiap kali berlaku gangguan bekalan air.

Sememangnya menjadi satu kerisauan yang amat kepada pengguna apabila membuka paip di rumah mendapati tidak ada setitis air pun yang keluar. Dalam kehidupan serba moden hari ini, bekalan air bersih sangat penting bukan sahaja untuk keperluan memasak, minum, membasuh dan mandi tetapi juga untuk kegunaan aktiviti lain se-perti menyiram pokok dan membasuh kenderaan.

Purata penggunaan air rakyat Malaysia setiap hari ialah 210 liter seorang berbanding Singapura kira-kira 151 liiter sehari bagi setiap individu.

Lihat sahaja apa yang berlaku baru-baru ini, betapa kalutnya kehidupan jutaan pengguna di sekitar Lembah Klang dan Selangor apabila gangguan bekalan air berlaku berikutan pencemaran di Sungai Selangor yang menyebabkan empat buah Loji Rawatan Air (LRA) iaitu LRA Sungai Selangor, Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang, dihentikan.

Pengguna terpaksa beratur panjang untuk menadah dan mengangkut air dan ini amat menyeksakan lebih-lebih lagi pada musim penularan wabak COVID-19 yang masih belum reda.

Penduduk Shah Alam beratur untuk mendapatkan air bersih berikutan gangguan bekalan air yang berlaku selepas empat loji Rawatan Air (LRA) di Selangor terpaksa dihentikan operasi ketika tinjauan di Pusat Khidmat Setempat di Seksyen 4 Shah Alam. – Bernama
Keadaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor I, Bestari Jaya yang dihentikan operasi berikutan pencemaran bau. – Bernama
Keadaan semasa Sungai Gong selepas mengalami insiden pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang yang mengakibatkan hampir 1.2 juta akaun pengguna sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air. – Bernama
Kakitangan pengurusan Air Selangor menguji tahap kebersihan air sebelum diagihkan ke kawasan-kawasan yang mengalami masalah gangguan air susulan berlakunya pencemaran bau di sumber air Sungai Selangor. – Bernama

Insiden berulang

Insiden pencemaran sungai ini bukanlah kali pertama berlaku. Pada tahun ini sahaja beberapa kes pencemaran bau dan tumpahan minyak berlaku di sungai hingga menyebabkan LRA terpaksa ditutup.

Paling tidak boleh dilupakan kes pencemaran di Sungai Kim Kim pada 2019 yang menjejaskan kesihatan ramai penduduk sekitar sehingga ada yang terpaksa dimasukkan ke hospital. Persoalannya, sampai bila pengguna harus menanggung sengsara akibat gangguan bekalan air?. Apakah tidak ada jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah ini daripada terus berulang?.

Ramai yang berpendapat kelemahan penguatkuasaan undang-undang antara punca pihak tidak bertanggungjawab berani dan berterusan melakukan kesalahan dengan membuang bahan pencemar ke sungai.

Namun jika dilihat secara keseluruhan insiden di Sungai Gong, Rawang baru-baru ini ia melibatkan banyak aspek yang memerlukan tindakan yang menyeluruh. Insiden terbaru ini membongkar banyak kelemahan dalam pengurusan lembangan sungai dan aspek sekuriti air yang perlu diperbaiki dengan kadar segera, demikian menurut pakar kualiti air, Dr Zaki Zainudin.

Langkah pro aktif yang boleh dilakukan terutama kerajaan negeri dalam masa yang terdekat ini adalah melaksanakan pemetaan secara terperinci sistem kawalan kumbahan kilang dan industri yang terdapat di pesisir kawasan sungai. Perlu disenaraikan jenis industri yang tidak sesuai menjalankan operasi terutama di kawasan hulu muka sauk bagi memastikan hanya industri yang tidak atau kurang berisiko sahaja dibenarkan beroperasi di kawasan itu.

Kerajaan negeri boleh menyenaraikannya untuk dijadikan rujukan kepada pihak berkuasa lain sebelum meluluskan atau membenarkan sesuatu industri dibuka. “Sekiranya terdapat industri yang tidak sesuai seperti yang disenaraikan berada di hulu muka sauk, tindakan boleh diambil antaranya tidak membenarkan mereka membesarkan lagi operasi atau melakukan pemutihan dengan memindahkan industri ke tempat yang lebih sesuai,” katanya kepada media baru-baru ini.

Kurangkan beban sungai

Langkah ini dapat mengurangkan beban pencemaran di bahagian hilir yang menempatkan muka sauk bagi loji rawatan air. Kebanyakan muka sauk adalah di kawasan hilir sungai kerana kuantiti isi padu air lebih tinggi di kawasan berkenaan.

“Apa yang menjadi masalah sekarang apabila kebanyakan industri dan kawasan perumahan dibuka di kawasan hulu sungai yang boleh melepaskan punca pencemaran ke dalam sungai terus ke hilir sebelum masuk ke muka sauk,” katanya. Walaupun sungai mempunyai keupayaan secara semulajadi menerima bahan cemar tetapi ia bergantung juga kepada isi padu air yang ada di dalam sungai berkenaan.

“Jika saiz sungai kecil, isi padu air berkurangan maka kemampuan sungai menerima bahan cemar adalah kurang. Begitu juga ketika musim kemarau, kadar pencairan di dalam sungai juga berkurangan. “Perlu ada undang-undang yang boleh menilai semula dengan melihat isu kemampuan sungai menerima beban pencemaran,” katanya.

Jaminan keselamatan bekalan air

Memantapkan sekuriti air yang meliputi kuantiti dan kualiti air yang menjadi keperluan asas manusia perlu dijadikan keutamaan oleh pihak berkuasa agar pengguna tidak lagi dibebani dengan masalah gangguan air pada masa akan datang.

Pengerusi Malaysian Water Engineers Action Committee (MyWAC), Ishak Hasnan berkata beberapa langkah boleh diambil antaranya dengan menyediakan sumber air mentah tambahan yang boleh digunakan sekiranya berlaku pencemaran sungai. Antara sumber yang dilihat berpotensi digunakan ialah air bawah tanah dan air lombong yang telah direzabkan, dijaga dan dikhaskan sebagai sumber air mentah loji rawatan air.

“Langkah ini boleh menggantikan sementara air sungai sehingga kualiti air kembali normal,” katanya kepada media. Ishak, yang mewakili 28 jurutera operator bekalan air di MyWAC berkata, langkah lain yang boleh dilaksanakan adalah dengan menambah lebih banyak kolam simpanan air bersih bagi keperluan pengguna.

Simpanan air bersih pada masa kini hanyalah untuk satu hari penggunaan dan ia boleh ditambah dengan membina lebih banyak kolam simpanan bagi menampung bekalan untuk tiga atau empat hari penggunaan. Beliau, yang juga jurutera air di Lembaga Air Perak berkata, kerjasama antara negeri juga boleh dijalinkan melalui memorandum persefahaman (MoU) bagi penyambungan paip bekalan air bersih antara daerah dan negeri.

Apabila sesuatu daerah atau negeri menghadapi krisis air maka bekalan air dari daerah dan negeri berdekatan boleh disalurkan, katanya. Ishak turut mencadangkan agar mewajibkan pihak industri merawat sendiri sisa buangan industri sebelum dilepaskan ke sungai.

Sisa buangan perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan dan untuk menguatkuasakannya peralatan untuk mengukur tahap kandungan bahan kimia yang menjadi parameter bahan sisa yang ditentukan perlu dipasang di tempat pelepasan sisa industri.

“Ia boleh dipantau secara dalam talian dan masa nyata oleh pihak berkuasa tanpa perlu keanggotaan yang ramai untuk mengendalikannya,” katanya. – Bernama