Kelibat ‘UFO’ misteri jadi tanda tanya

TOKYO, 18 JUN – Ia jauh sekali menyerupai mahkluk asing, tetapi objek misteri seperti belon itu dilihat terapung di ruang udara utara Jepun telah menarik perhatian ramai, malah mencetuskan persoalan kepada kerajaan.

Objek yang terbang dan tidak dikenal pasti itu pertama kali dilihat pagi kelmarin apabila seorang penduduk tempatan di utara bandar Sendai mengongsikannya di media sosial dan menjadi perdebatan hangat antara mereka.

“Benda putih itu tidak bergerak langsung. Apakah ia? Boleh sesiapa beritahu saya?” tulis seorang pengguna manakala yang lain membalas menggunakan hashtag ‘objek terbang yang tidak dikenal pasti (UFO)’ dalam Bahasa Jepun.

Pihak berkuasa berkata mereka juga bingung dengan objek tersebut, yang imej dekatnya telah diambil oleh penduduk tempatan dan media mengatakan ia membentuk objek seperti belon yang dilengkapi bilah bersilang bersama kipas.

“Objek itu kelihatan seperti belon yang digunakan untuk memantau cuaca, namun ia bukan kepunyaan kami,” kata pegawai di Biro Sendai, di Agensi Meteorologi Jepun memberitahu AFP hari ini.

Gambar yang diambil pada 17 Jun 2020 menunjukkan satu objek misteri dilihat di ruang udara Aoba Ward di Sendai. Objek yang pertama kali dilihat pagi kelmarin itu menjadi perdebatan di media sosial. – AFP

Polis tempatan melaporkan telah menerbangkan sebuah helikopter untuk mengesahkan kehadiran objek itu, namun juga tidak mengetahui identitinya – walaupun selepas merujuk pihak berkuasa dan organisasi lain.

Jabatan aeronautik Universiti Kyushu menafikan secara umum yang peranti itu kepunyaan mereka, selepas spekulasi ramai.

Seorang profesor madya, Shinichiro Hihashino di jabatan itu memberitahu Fuji TV yang imej dekat menunjukkan objek itu dilengkapi dengan panel-panel solar.

“Ia boleh jadi sedang menjalankan pemantauan saintifik atau memantau sesuatu,” katanya.

Objek misteri itu mendapat liputan di seluruh negara malah mencetuskan persoalan kepada jurucakap kerajaan tertinggi pada taklimat hariannya.

Yoshihide Suga berkata kerajaan menyedari objek misteri itu, namun menyangkal pendapat ia mungkin angkara kerajaan asing atau berpotensi boleh menyebabkan kerosakan.

Misteri itu masih belum terjawab – objek itu kini dilaporkan terapung keluar ke Pasifik, di mana pihak berkuasa telah kehilangan jejaknya. – AFP