Kelly Preston meninggal dunia

Aktres dan isteri kepada John Travolta iaitu Kelly Preston dilaporkan meninggal dunia pada usia 57 tahun selepas dua tahun bertarung dengan penyakit kanser payudara. Berita sedih itu disahkan Travolta menerusi laman Instagram.

“Dengan hati yang berat, saya memaklumkan isteri, Kelly tewas dalam pertarungan selama dua tahun melawan kanser payudara.

“Dia, seorang yang kuat dengan sokongan dan kasih sayang. Saya dan keluarga akan selalu menghargai barisan doktor dan jururawat di MD Anderson Cancer Center, semua pusat perubatan membantu, keluarga dan rakan tersayang yang selalu di sisinya. Kasih sayang dan kehidupan Kelly akan selalu diingati,” katanya.

Travolta memberitahu, beliau dan anak-anaknya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri selepas pemergian insan tercinta.

“Saya akan mengambil masa buat seketika untuk berada di sisi anak-anak yang baharu sahaja kehilangan ibu. Jadi, maafkan saya sekiranya anda tidak mendengar sebarang berita daripada saya dalam tempoh ini.

“Tetapi, tolong ketahui, saya menghargai kasih sayang yang dicurahkan selama kami mengambil masa untuk pulih,” katanya. – Agensi

Kelly Preston dilaporkan meninggal dunia selepas dua tahun bertarung dengan penyakit kanser payudara. – Agensi