‘Keluarga Aman, Negara Mapan’

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, kelmarin, telah mengadakan Forum sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 yang membawakan tajuk ‘Keluarga Aman, Negara Mapan’.

Forum yang julung kalinya diadakan itu berlangsung di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong dengan dihadiri oleh para Muslimah dan pasangan mereka yang mana tajuk utama forum melibatkan tanggungjawab kedua-dua belah pihak iaitu peranan mereka sebagai suami isteri dan sebagai ibu bapa dalam membina keluarga yang aman dan bahagia.

Kekuatan dalam kehidupan berkeluarga dapat menyumbang ke arah keamanan dan kemajuan negara.

Turut hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari.

Forum dipengerusikan oleh Haji Jaya bin Haji Metussin dari Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan ahli-ahli panelnya terdiri daripada Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Haji Azman bin Haji Musa dan Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Dr Widad binti Abdul Aziz.

Antara lain tujuan acara berkenaan adalah untuk memahami peranan mereka khususnya peserta dalam mendukung Wawasan Brunei 2035 dan dapat memberi kesedaran dan pengetahuan kepada mereka untuk  membina keluarga yang kukuh dan mantap.

Dengan ini, keharmonian dalam  kehidupan berkeluarga dapat dinikmati bersama anak-anak dan cucu-cicit serta membimbing mereka supaya terselamat daripada anasir atau pengaruh yang negatif seperti masalah sosial yang melanda pada masa kini.

Forum bertajuk ‘Keluarga Aman, Negara Mapan’ menyentuh mengenai peranan ibu bapa dan suami isteri membina keluarga bahagia yang mendukung Wawasan Brunei 2035. – Gambar oleh Muiz Matdani