Keluarga, individu kurang bernasib baik terus dibantu

Oleh Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Sebagai usaha untuk terus memberikan bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik di seluruh negara, Akademi Qalam yang bekerjasama dengan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Pusat Dakwah Islamiah (PDI) telah mengadakan beberapa siri lawatan ke tiga buah daerah menerusi Program Mahabbah Aidilfitri pada awal pagi tadi.

Program yang bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh golongan tersebut telah menghulurkan bantuan berupa hamper dan sampul Hari Raya berisi wang tunai dengan membuat lawatan ke kediaman keluarga-keluarga dan individu memerlukan untuk memeriahkan lagi Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Di Daerah Belait, rombongan Akademi Qalam dan BIBD, yang diketuai oleh Ketua Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas BIBD, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah, mengunjungi keluarga yang kurang bernasib baik dengan bantuan kakitangan PDI Daerah Belait yang diketuai oleh Ketua PDI Daerah Belait, Dayang Zikrinaidah binti Haji Mat Dikir.

Semasa lawatan ke Daerah Belait, rombongan tersebut telah mengunjungi kediaman keluarga-keluarga dan individu yang menerima sumbangan yang masing-masing menetap di kawasan Kampung Sungai Mau dan Labi.

Rumah pertama yang dikunjungi oleh rombongan tersebut adalah kediaman Dayang Masnah binti Abdullah @ Jainah binti Umbok di Kampung Sungai Mau. Menurut PDI Daerah Belait, beliau tidak bekerja dan hanya menerima pencen warga emas serta bantuan daripada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan mempunyai tanggungan seramai 10 orang termasuk cucunya.

Haji Mohammad Yusri memberikan sumbangan kepada keluarga Dayang Masnah di Kampung Sungai Mau.
Beberapa orang kakitangan membantu mengangkat sumbangan semasa Program Mahabbah Aidilfitri.

Selepas itu, rombongan tersebut berkunjung ke rumah milik Awang Muhd Ardi bin Abudllah Elijah @ Kennedy Anak Elijah di Kampung Labi untuk menyerahkan sumbangan. Beliau tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan hanya mengharapkan hasil daripada bercucuk tanam.

Rumah terakhir yang dikunjungi adalah rumah seorang balu yang tinggal bersendirian, Dayang Marinah binti Abdullah yang terletak di Kampung Labi.

Haji Mohammad Yusri semasa program tersebut menyatakan bahawa program seperti ini sering diadakan dan ia seiring dengan tiga tonggak tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat, iaitu pendidikan, keusahawanan dan komuniti.

Selepas lawatan ke Daerah Belait, rombongan tersebut meneruskan lawatan ke Daerah Tutong untuk mengunjungi tiga buah keluarga yang kurang bernasib baik bagi tujuan meringankan beban mereka.

Rombongan lain turut menjalankan program yang serupa di Daerah Temburong dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik di sana.