Keluarga kembali bersatu di Australia

SYDNEY, 1 NOV – Sempadan antarabangsa Australia dibuka semula hari ini selepas hampir 600 hari ditutup akibat pandemik COVID-19, menyaksikan adegan penuh emosi di lapangan terbang ketika keluarga terpisah kembali bersatu.

Penumpang yang mula masuk ke terminal ketibaan di Kingsford Smith Internation awal pagi lagi disambut dengan pelukan, sorakan dan jambangan bunga.

Australia melaksanakan penutupan sempadan antara yang paling ketat di dunia pada 20 Mac tahun lalu, sebagai usaha menyekat penularan COVID-19. Hampir semua perjalanan ke pulau benua itu dihentikan, menyebabkan negara itu digelar sebagai ‘negara pertapaan’.

Tim Turner yang hampir setahun tidak bertemu anaknya, berkata mereka kini dapat bersatu semula.

Julie Choo, yang terbang pulang dari United Kingdom (UK) untuk melawat ibunya di hospital, berkata dia cuba untuk tidak menangis ketika pesawat mendarat. “Saya tak sabar memegang tangan ibu apabila berjumpa dengannya. Ini akan menjadi sangat emosional,” katanya.

Ahli keluarga berpelukan sebaik sahaja bertemu dan bersatu di Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney, 1 November. – AFP

Sejak 19 bulan lalu, warga Australia disekat melancong ke luar negara tanpa kebenaran.

Keluarga berpisah merentasi benua dan puluhan ribu rakyat terkandas di luar negara. Beberapa individu yang mendapat kebenaran untuk masuk terpaksa membelanjakan ribuan dolar dan dikuarantin 14 hari di bilik hotel.

Syarat itu kini sudah ditarik di dua bandar terbesar di negara itu, Sydney dan Melbourne yang akan membenarkan warga Australia yang divaksin untuk keluar dan masuk tanpa kuarantin.

Syarikat penerbangan Australia, Qantas menghentikan sebahagian besar penerbangan lebih 18 bulan lalu, yang mana Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alan Joyce membayangkan penyambungan semula penerbangan antarabangsa sebagai perkara yang ditunggu sejak sekian lama.

Perdana Menteri, Scott Morrison berkata ia adalah hari penting untuk Australia. Beliau dalam catatan di Facebook menyatakan negara itu kini “bersedia untuk berlepas!”

Penerbangan dijangka kembali beroperasi semula secara perlahan-lahan menyaksikan bilangan penumpang masih rendah pada penerbangan pertama yang tiba, hari ini. – AFP