Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Sebanyak 25 bakul dan 20 hamper telah diagih-agihkan kepada anak-anak yatim dan kanak-kanak yang berumur satu tahun ke bawah daripada keluarga yang kurang berkemampuan di Daerah Brunei dan Muara dalam projek Bantu Masyarakat Kitani anjuran Qudoz Event Management Services.
Penyampaian sumbangan secara pandu lalu telah disempurnakan oleh Presiden Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya dan Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), Bengkurong, Dato Paduka Haji Mohammad Alimin bin Haji Abdul Wahab.
Turut menyampaikan sumbangan pada majlis yang berlangsung di kawasan letak kenderaan VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah itu ialah Pengerusi Qudoz Event Management Services, Dayangku Noorbaizura binti Pengiran Haji Daud.
Kempen kesedaran sepadu bagi membimbing ibu dan anak itu merupakan salah satu sumbangan Qudoz Event Management Services kepada masyarakat semasa bulan Ramadan dan secara tidak langsung membantu seluruh lapisan masyarakat semasa berhadapan dengan pandemik Covid-19.
Projek bertema ‘Bakul Peduli dengan Harapan’ itu telah berjaya mengumpul sebanyak 100 bakul hasil sumbangan ahli Qudoz dan orang ramai.
Pengagihan sumba-ngan secara berperingkat-peringkat sebelum ini telah berjaya mengagihkan 70 bakul berisi makanan asasi dengan mengunjungi rumah-rumah penerima dan 50 bakul kepada mualaf-mualaf di Daerah Brunei dan Muara atas kerjasama Unit Pengupayaan Mualaf, Pusat Dakwah Islamiah.
Manakala itu, 25 bakul lagi telah berjaya diagihkan kepada musafir ibu tunggal dan balu sementara 20 bakul lagi untuk ibu tunggal dan balu yang bukan beragama Islam di daerah ini.
Dengan adanya sumba-ngan berkenaan, ia sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan sekali gus menceriakan anak-anak yatim dan kanak-kanak dari keluarga kurang berkemampuan dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.






























