Keluarga mangsa MH17 beri keterangan

AMSTERDAM, 6 SEPT – Puluhan ahli keluarga 298 mangsa pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di kawasan pemberontak di utara Ukraine pada 2014, akan memberi keterangan pada perbicaraan pembunuhan oleh empat suspek dalam pelarian, yang didakwa melakukan serangan itu.

Pesawat itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum ditembak misil darat ke udara Rusia, seperti didedahkan pasukan penyiasat antarabangsa dan pendakwa raya.

Tiga warga Rusia dan seorang rakyat Ukraine yang disyaki memainkan peranan utama dalam pasukan tentera pemisah, dibicarakan kerana membunuh.

Moscow menolak untuk menyerahkan suspek yang berada di Rusia dan menafikan bertanggungjawab terhadap insiden itu, namun Kerajaan Belanda berpandangan Mos-cow bertanggungjawab.

Pesawat itu terhempas di sebuah ladang dalam wilayah yang dikuasai pejuang pemisah pro-Rusia yang menentang tentera Ukraine.

Hakim,Hendrik Steenhuis (tengah) menunggu salah seorang ahli keluarga mangsa pesawat Malaysia Airlines MH17 untuk memberi keterangan di mahkamah.- AP

Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan tiga minggu mulai hari ini untuk mendengar kenyataan ahli keluarga, dan akan turut meneliti kira-kira 100 kenyataan bertulis oleh ahli keluarga yang lain.

Ria van der Steen akan menjadi orang pertama daripada 90 ahli keluarga dari lapan negara, yang akan dibenarkan berbicara dengan hakim dan peguam defendan mengenai impak nahas itu ke atas kehidupan mereka.

Selepas beberapa tahun mengumpul bukti, sepasukan penyiasat antarabangsa menyimpulkan pada Mei 2018, bahawa pelancar misil yang digunakan adalah milik Briged Misil Anti-Pesawat Ke-53 Rusia.

Semua suspek dalam pelarian itu dibicarakan sejak setahun setengah lalu.

Hanya seorang daripada mereka menghantar peguam untuk mewakilinya supaya kes itu tidak dianggap dibicarakan tanpa kehadiran, di bawah undang-undang Belanda. – AFP