Keluarga mangsa tembakan diberikan pampasan

MIAMI, 23 NOV – Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS) dijangka akan membayar AS$130 juta kepada keluarga-keluarga mangsa tembakan Parkland 2018 di Florida kerana kegagalan FBI untuk menyiasat dua maklumat mengenai penyerang yang kemudian membunuh 17 orang di sekolah tinggi, menurut New York Times, kelmarin.

Bekas pelajar sekolah, Nikolas Cruz yang berusia 19 tahun, bersenjatakan senapang AR 15 semi-automatik, menyerang sekolah Marjorie Douglas Stoneman pada Hari Valentine 2018.

Enam minggu sebelum kejadian, seorang wanita menelefon FBI selepas melihat paparan media sosial penyerang yang dipenuhi dengan senjata dan peluru.

“Saya mengetahui dia akan menyerang,” katanya, dan menyatakan kerisauannya mengenai remaja lelaki itu akan “membawanya ke sekolah dan mula menyerang.”

Dan lima bulan sebelum itu, seorang pemilik saluran YouTube melaporkan komen yang ditinggalkan dalam videonya oleh seorang pengguna bernama ‘nikolas cruz’ yang mendakwa akan menjadi ‘penembak profesional sekolah’.

Beberapa hari selepas kejadian tembakan, FBI mengakui mereka tidak membuat siasatan mengenai dua maklumat yang mereka terima.

Pengakuan kecuaian FBI ini menyebabkan kesedihan kepada keluarga-keluarga mangsa, yang mengemukakan saman terhadap biro tersebut kerana kecuaian, menurut laporan akhbar.

Cruz, kini berusia 23 tahun, mengaku salah terhadap 17 pertuduhan bulan lalu dan berkata dia ‘sangat kesal’. Dia menunggu hukuman dan pendakwa raya mereka mempertimbangkan hukuman mati. – AFP

Gambar fail bertarikh 20 Oktober 2021 semasa Nikolas Cruz berada di mahkamah. Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS) dijangka akan membayar AS$130 juta kepada keluarga-keluarga mangsa kerana kegagalan FBI untuk menyiasat dua maklumat yang diberikan. – AFP