Keluarga murni generasi cemerlang

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mei – Kestabilan sesebuah institusi keluarga sangat bergantung kepada nilai-nilai keluarga yang didasari dengan pembangunan sahsiah dan jati diri.

Nilai-nilai murni yang ditanam dalam kehidupan berkeluarga dapat menghindari pelbagai pengaruh buruk dan negatif daripada melanda sesebuah institusi keluarga.

Di sini letaknya peranan ibu bapa dalam mendidik keluarga dengan tarbiyah islamiyah dan membentuk ketakwaan dengan melaksanakan ibadah bersama-sama melalui sembahyang, puasa, mencintai Al-Quran dan Sunnah Baginda SAW dan sebagainya.

Ke arah itu, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, hari ini telah menganjurkan ceramah khas sempena awal Ramadan 1440 Hijrah dan Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2019 dengan tema Hari Keluarga Kebangsaan 2019, ‘Keluargaku Harapanku’.

Majlis yang berlangsung di Dewan Tarbiyah, KUPU SB itu dihadiri oleh Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku tetamu kehormat majlis. Ceramah khas berkenaan telah disampaikan oleh Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @Maidin.

Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom ketika menyampaikan sumbangan Keluarga Al-Rahmah kepada salah seorang penerima. – Gambar oleh Muiz Matdani

Antara lain objektif ceramah khas ini adalah bagi mengemukakan peranan institusi keluarga dan ciri-ciri keluarga teladan berlandas Al-Quran dan As-Sunnah bagi melahirkan generasi yang cemerlang di samping mengutamakan ibadat bersama keluarga berlandaskan hujah-hujah ilmiah yang bernas.

Pengarah Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, KUPU SB, Hajah Aisyah Radhiah binti Haji Ghani dalam ucapan alu-aluan menyatakan harapan bagi ceramah khas yang diadakan tersebut dapat menjentik momentum berkeluarga pada bulan Ramadan dan istiqamah di luar bulan Ramadan.

Selain itu, ia juga diharap dapat mengemukakan peranan institusi keluarga dan ciri-ciri keluarga bahagia dan penyayang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah bagi melahirkan generasi berwawasan yang cemerlang.

Beliau turut menyentuh mengenai peranan ibu bapa terhadap anak, di mana jelasnya menurut Imam Ghazali rahimahullah bahawa anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa yang mana hati mereka suci ibarat batu permata yang berharga, jadi sekiranya hati mereka itu dibiasakan dan diajarkan dengan kebaikan, maka hati itu pasti akan menemukan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

“Sebaliknya jika dibiasakan dengan kejahatan dan dibiarkan seperti binatang, hati itu pasti menemui kesengsaraan dan kebinasaan,” tambahnya.

Menurutnya, tanggungjawab untuk menjaga anak merangkumi pelbagai sudut yang termasuk mendidik, mendisiplinkan dan mengajarnya untuk memiliki akhlak yang mulia.

Majlis tersebut kemudiannya diteruskan dengan penyerahan sumbangan Keluarga Al-Rahmah kepada 21 buah keluarga yang terdiri dari warga KUPU SB berpendapatan rendah dan susah yang mana sumbangan tersebut adalah hasil kutipan daripada warga KUPU SB dan penderma persendirian.

Ceramah khas ini merupakan salah satu usaha pihak KUPU SB sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab terhadap perkembangan agama, pengukuhan institusi keluarga dan pembangunan modal insan anak bangsa dengan membudayakan ta’awun (tolong-menolong).

Di samping itu, ia juga menekankan prinsip tausiyah (berpesan-pesan) ke arah kebaikan dan amar ma’ruf nahi munkar (mengajak orang ramai kepada kebajikan dan meninggalkan kemungkaran) dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

Turut hadir semasa majlis ceramah khas itu ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar), Dayang Saidah binti Haji Wahid, Pemangku Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said.

Hadir sama ialah Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah serta para pegawai kanan, para pegawai utama KUPU SB, para pensyarah dan pengetua sekolah.