Keluarga sindiket dadah berdepan hukuman mati

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Ahli-ahli sebuah keluarga sindiket dadah dihadapkan ke mahkamah kelmarin dengan pendakwa raya mengemukakan tuduhan ke atas enam daripadanya yang boleh membawa hukuman mati.

Ahmad bin Haji Tamit dan isterinya, Maskunah binti Wahab bersama anak-anak mereka, Isamuddin bin Ahmad, Mohammad Saifuddin bin Ahmad dan Siti Izzatul Munirah binti Ahmad dan suaminya, Jakaria bin Ahad dituduh melakukan dua kesalahan di bawah Bab 27, Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah.

Ketua Majistret Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar mendengarkan bahawa tertuduh-tertuduh itu didakwa kerana memiliki 18.9943 kilogram dadah jenis methylamphetamine bagi tujuan pengedaran.

Dadah itu dikatakan ditemui di perkarangan belakang sebuah rumah di Jalan Junjongan. Mereka juga didakwa memiliki 532.44 gram dadah methylamphetamine gred A dalam botol-botol, bagi tujuan pengedaran yang juga ditemui di kawasan kediaman yang sama. Kesemua tertuduh tinggal di rumah di sekitar kawasan sama.

Selain itu, Isamuddin bin Ahmad berdepan satu tuduhan individual memiliki, dengan tujuan mengedar, 54.1 gram methylamphetamine di dalam beg plastik di sekitar rumahnya di Jalan Junjongan. Kesalahan itu membawa hukuman penjara antara 20 hingga 30 dengan 15 sebatan mandatori.

Siti Izzatul Munirah dan Jakaria bin Ahad juga didakwa memiliki hasil jenayah yang bertentangan dengan Seksyen 3 Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah 2012 yang merupakan sebuah rumah dianggarkan bernilai $80,000 dan lebih $100,000. Mereka juga didakwa atas kesalahan menyembunyikan pemilikan kenderaan dengan mendaftar kenderaan di bawah nama orang ketiga.

Siti Izzatul Munirah juga berdepan satu tuduhan memiliki lebih 50 utas barangan kemas yang dikatakan hasil jenayah itu.

Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Abdul Latif dan Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman memaklumkan mahkamah bahawa dadah dirampas dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Saintifik bagi analisis.

Pihak pendakwa raya juga meminta tertuduh-tertuduh direman memandangkan betapa seriusnya tuduhan ke atas mereka.

Mahkamah mengarahkan mereka direman dan menangguhkan kes sehingga 10 Oktober.
Kesemua tertuduh diwakili oleh Peguam Roy Prabhakaran dan Pengiran Muhammad Khairul Nizam bin Pengiran Haji Mohd Yassin dari Messr Yusof Halim & Partners.