Thursday, April 18, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Keluarga, tenaga pengajar tunjang kejayaan

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Ak Zaki & Infofoto

    Genggaman segulung ijazah satu titik permulaan kepada para graduan untuk melangkah, melebarkan sayap dan mula mengasah pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari selama beberapa tahun di menara gading.

    Kesyukuran dan kegembiraan pastinya terpahat dalam kenangan di sudut minda mereka apabila akhirnya berjaya menamatkan pengajian, begitulah yang terlafaz di bibir para graduan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang diraikan pada Majlis Konvokesyen ke-11 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Wartawan Media Permata berkesempatan menemu bual beberapa orang graduan, antaranya Dr Dayang Zeti Yusmira binti Jaludin, penerima Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama dalam Bidang Pendidikan yang mengongsikan perasaan syukur dan berterima kasih atas sokongan diberikan orang tua dan suami semasa menjalani pengajian.

    “Ini bermakna, pentingnya seawal pengajian mendapat restu, doa dan sokongan daripada orang tua dan suami. Subhanallah, inilah pengalaman bermakna untuk mencari keberkatan ilmu.

    “Alhamdulillah dalam proses pengajian PhD ini, pengalaman menjadi bermakna apabila mendapat didikan dan bimbingan berterusan daripada penyelia, pensyarah-pensyarah dan penyertaan kursus akademik untuk beroleh tangible experience terhadap bidang kajian dijalankan,” tambahnya Dr Dayang Zeti Yusmira lagi.

    Dayang Zeti Yusmira bersyukur menerima sokongan padu keluarga dan pengajar.
    Awang Khairulamirin Fitri semasa ditemu bual wartawan.
    Awang Dilla Aiyad Kasyidi mengongsikan teknik dipelajari di KUPU SB yang menurutnya akan diaplikasikan dalam pekerjaannya kelak.
    Dayang Majidah mahu mengadunkan teknik pembelajaran tradisi dan moden.

    Bagi Awang Dilla Aiyad Kasyidi bin Ahmadi, penerima Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama Pendidikan Islam dengan Minor Fiqh Usrah, semasa belajar KUPU SB, beliau bukan sahaja menimba ilmu, malahan turut meraih pengalaman berharga.

    “Di sini, kami diajar teknik dan kaedah pengajaran menjadi seorang guru yang efektif. Dengan mempelajari teknik ini, ia memberikan kesan besar terhadap cara pengajaran dan pembelajaran pelajar.

    “Saya berkesempatan mengaplikasikan apa yang diajar semasa praktik mengajar, ternyata ia berkesan terhadap pelajar,” tambahnya.

    Sehubungan itu, bagi masa depan, beliau bertekad memanfaatkan ilmu tersebut bagi disebarkan kepada orang awam seperti mengadakan forum kekeluargaan atau kaunseling rumah tangga untuk membantu mereka di luar sana, khususnya kepada suami isteri yang menghadapi kekeliruan atau masalah berkaitan dengan rumah tangga mereka.

    Dayang Majidah binti Awang Moin, penerima Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama Pendidikan Islam dengan Minor Bimbingan dan Kaunseling berkata beliau memperoleh ilmu yang sangat luas yang boleh diaplikasikannya dalam sistem pendidikan negara sekarang iaitu SPN21.

    “Insya Allah, dengan ilmu pendidikan yang saya pelajari, saya dapat mengolah teknik pembelajaran dan pengajaran subjek-subjek agama secara moden dengan menggunakan bahan-bahan bantu mengajar daripada segi pembelajaran tradisional kepada pembelajaran media teknologi yang moden,” jelas Dayang Majidah.

    Penerima Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah, Dayang Munzirah binti Haji Suhaili ketika ditemui menzahirkan rasa teruja dan memanjatkan kesyukuran atas kejayaan yang diperolehnya pada hari ini dan mengucapkan terima kasih kepada warga pengajar KUPU SB.

    Dayang Nur Afiatul Azimah binti Timbang, penerima Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama Pendidikan Islam dengan Minor Pendidikan Melayu Islam Beraja berharap ilmu yang ditimbanya di negara gading akan dapat memberikan manfaat kepada negara dan ibu bapanya.

    Bagi penerima Diploma Pengajian Seni Al-Quran, Awang Khairulamirin Fitri bin Haji Samsudin, tunjang utama kejayaan sesebuah program pengajian di KUPU SB adalah bermula daripada barisan pensyarah yang luas ilmu pengetahuannya sehingga ia dapat menyampaikan ilmu kepada mahasiswa mahupun mahasiswinya.

    Bercakap mengenai perancangannya selepas ini, beliau menyatakan untuk sedia berkhidmat untuk masyarakat kerana ilmu tanpa amal akan mati atau akan terhenti seperti yang dikatakan oleh gurunya bahawa ilmu itu adalah untuk disebarkan dan bukan untuk disimpan.

    “Semoga para guru kami akan sentiasa dilindungi oleh Allah SWT, diberikan kesihatan dan tenaga untuk berkhidmat kepada masyarakat,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...