Thursday, February 20, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keluarga terselamat dari kebakaran

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    SERIA, 20 Julai – Api besar telah menyebabkan kerosakan teruk ke atas sebuah rumah di STKRJ Lorong Tiga Seria, hari ini, bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian kebakaran itu.

    Rumah terbabit dimiliki oleh mantan imam, Haji Ibrahim bin Haji Daud dengan lapan orang ahli keluarga. Semasa kejadian beberapa orang ahli keluarga berada di rumah tetapi sempat menyelamatkan diri.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat melaporkan bahawa Balai Bomba Seria telah menerima panggilan kecemasan daripada salah seorang ahli keluarga berkenaan kira-kira pukul 2:55 petang.

    Seramai 13 orang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat telah dikejarkan ke tempat kejadian bersama empat buah jentera bomba dan sebuah water tanker bantuan Balai Bomba Kuala Belait bagi mengawal kebakaran.

    Keadaan rumah berkenaan ketika anggota bomba tiba di tempat kejadian.
    Keadaan rumah berkenaan ketika anggota bomba tiba di tempat kejadian.
    Anggota bomba bertindak cekap mengejarkan beberapa jentera pemadam api ke tempat kejadian.
    Anggota bomba bertindak cekap mengejarkan beberapa jentera pemadam api ke tempat kejadian.

    Sebaik tiba di tempat kejadian, pihak bomba mendapati api telah merebak di bahagian atas rumah dengan asap tebal. Api telah berjaya dikawal dalam masa 13 minit dan keseluruhan kerja-kerja memadam kebakaran mengambil masa kira-kira dua jam.

    Operasi memadam kebakaran telah diketuai oleh Pemangku Penolong Penguasa Awang Mohd Ali bin Hassan.

    Turut hadir di tempat kejadian ialah dua orang pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Leftenan Erwan dan Pegawai Waran Dua Affendy yang sedang mengikuti penempatan tugas di Balai Bomba Seria serta Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Haji Linap.

    Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat, kebakaran dipercayai berpunca daripada kepanasan berlebihan pada alat pengecas yang disambungkan kepada sebuah telefon bimbit menggunakan palam yang masih berfungsi dan setakat ini anggaran kerugian masih dalam siasatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda