Friday, April 26, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Kelulusan SSSRU lebih 90 peratus

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Sebanyak 93.95 peratus iaitu 4,144 daripada 4,411 orang calon telah lulus dalam Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) Darjah VI tahun 1442H / 2021M.

    Daripada jumlah tersebut, seramai 2,473 calon (56.06 peratus) memperoleh pangkat 1, 654 calon (14.83 peratus) memperoleh pangkat 2; dan 1,017 calon (23.06 peratus) memperoleh pangkat 3.

    Sementara itu, sebanyak 71 daripada 147 buah sekolah atau pusat peperiksaan yang mendaftar bagi peperiksaan berkenaan, iaitu 48.30 peratus, telah berjaya memperoleh pencapaian 100 peratus lulus.

    Pencapaian berkenaan telah dikongsikan oleh Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), selaku Urus Setia Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama Brunei dalam kenyataan yang dikeluarkan bagi memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan berkenaan telah pun dikeluarkan.

    Sehubungan itu, guru-guru besar sekolah agama yang berkenaan bolehlah mengambil keputusan dan slip pernyataan keputusan calon bagi sekolah masing-masing pada 18 Julai ini di pejabat Bahagian Peperiksaan, JPI di Lantai Bawah, Bangunan KHEU, Jalan Dewan Majlis pada waktu pejabat dibuka.

    Manakala itu, calon-calon yang menduduki peperiksaan tersebut bolehlah mendapatkan slip pernyataan keputusan mereka di sekolah ugama masing-masing.

    Dalam pada itu, bagi calon-calon peperiksaan, ibu bapa atau penjaga yang ingin mendaftar untuk mendapatkan keputusan peperiksaan melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS), bolehlah berbuat demikian dengan menaip KHEU (jarak) REG (jarak) nombor pusat peperiksaan (jarak) nombor indeks calon dan hantar ke talian 8885555 bagi pelanggan DST atau 38666 bagi pelanggan Progresif Sdn Bhd.

    Pendaftaran yang berjaya akan dimaklumkan kepada pelanggan melalui SMS tanpa sebarang kos kepada pelanggan.

    Pelanggan yang telah mendaftar untuk mendapatkan keputusan peperiksaan melalui SMS, keputusan peperiksaan hanya akan dihantar setelah keputusan peperiksaan dikeluarkan dengan dikenakan caj bayaran $1 bagi setiap keputusan peperiksaan SMS yang diterima.
    Sehubungan itu, para pelanggan diminta memastikan telefon bimbit masing-masing mempunyai baki kredit yang mencukupi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...