Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Kem Asuhan Minda Belia labuh tirai

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JAN – Seramai 27 orang pelajar yang sedang menunggu ke-putusan peperiksaan O Level telah menamatkan Kem Asuhan Minda Belia dan diraikan pada majlis penutup yang berlangsung di Pusat Belia Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Para peserta program yang dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Brunei dan Muara itu terdiri daripada pelajar Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien (MSOAS), Maktab Sains Paduka Seri Begawan (Maktab Sains), Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMSMJA), Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali (SMSSA), Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, Sekolah Menengah Sayyidina Husain, Sekolah Menengah Lambak Kiri (SMLK), Sekolah Menengah Masin, Sekolah Menengah Muda Hashim (SMMH) dan Sekolah Menengah Sufri Bolkiah (SMSB).

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan Bahagian Belia, Jabatan Belia dan Sukan.

    Kem selama empat hari berkenaan diisikan dengan pelbagai aktiviti antaranya aktiviti keagamaan. Para peserta juga menjalankan kerja-kerja yang bermanfaat dan pembentangan kumpulan.

    Di samping itu, mereka turut diberikan tugasan mencabar melalui aktiviti Mengenali Bandar Kitani, di mana mereka berkunjung bagi mengenali lebih lanjut bangunan-bangunan lama yang ada di Bandar Seri Begawan.

    Tetamu kehormat bergambar ramai bersama para peserta pada majlis penutup program tersebut.
    Salah seorang peserta, Muhammad Hariz Adwa bersama ibunya ketika ditemui pihak Media.

    Manakala bagi aktiviti Berdudun ke Kampong Ayer, mereka berkunjung dan berpeluang menemuramah warga emas sambil bertanya sejarah kampong, mengenali bahasa-bahasa Brunei lama dan membuat kerja amal di beberapa buah kampung. Bagi kesemua tugasan tersebut, mereka diarahkan untuk membuat video pendek mengenainya.

    Kem berkenaan dihasratkan akan menjadikan peserta lebih proaktif, berinisiatif dan kreatif serta berani menyuarakan pendapat, selain dapat membentuk rangkaian persahabatan secara informal dan menjadi agen perubahan kebaikan kepada sekolah masing-masing.

    Salah seorang peserta, Awang Muhammad Hariz Adwa bin Haji Sabli ketika ditemui menzahirkan perasaan syukur dan gembira kerana diberikan peluang berharga menyertai program tersebut yang banyak mengajarnya banyak ilmu baharu yang cukup berguna.

    “Antara kenangan manis semasa menyertai program ini ialah semasa kami dibawa melawat ke Kampong Ayer bersama-sama di samping dapat bertemu dengan rakan baharu dari sekolah yang berlainan.

    “Pengajaran yang saya dapat ambil ada banyak, antaranya kami dapat bertukar fikiran sesama peserta dan kami juga dapat merasakan menjadi seorang belia yang sebenar untuk membincangkan isu semasa yang cukup bermanfaat.

    “Sekiranya diberikan peluang pada masa akan datang saya ingin menyertai kem seumpama ini lagi di masa yang akan datang dan mengesyorkan anak-anak belia di luar sana untuk menyertai kegiatan seperti ini,” ujar beliau.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...