Wednesday, January 15, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kem eksplorasi gabung pembelajaran, aktiviti interaktif

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Ke arah membudayakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan murid di sekolah-sekolah, sekali gus menyahut cabaran untuk terus bergiat aktif di peringkat antarabangsa dengan menimba pengalaman yang bermakna dalam aktiviti luar bilik darjah, seramai 38 peserta telah mewakili Negara Brunei Darussalam dalam STEM Exploration Camp (STEC) 2024 yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Pekan Menumbok, Sabah, Malaysia, baru-baru ini.

    Para peserta berkenaan terdiri daripada dua pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah (JSS), Kementerian Pendidikan, bersama enam guru dan 30 pelajar dari Sekolah Rendah Rataie, Sekolah Rendah Mentiri, Sekolah Rendah Rimba II, Sekolah Rendah Awang Haji Mohd Yusof Katimahar, Sekolah Rendah Lamunin dan Sekolah Rendah Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Belait.

    STEC 2024 yang berlangsung dari 29 November hingga 2 Disember itu telah mengumpulkan 180 pelajar dari Negara Brunei Darussalam, Malaysia dan Indonesia di mana ia merupakan aktiviti kokurikulum yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Sabah; Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau; Institut Pendidikan Guru Kampus Kent, Sabah; Universiti Malaysia Sabah; dan Persatuan Guru Besar Malaysia (PGMB) Sabah di bawah pengelolaan Sekolah Kebangsaan Pekan Menumbok bagi tahun 2024.

    GABUNGAN PEMBELAJARAN DAN PENGALAMAN PENUH BERMAKNA

    STEC 2024 diisikan dengan aktiviti secara praktikal yang mencabar dan memberikan inspirasi. Para pelajar telah mengambil bahagian dalam aktiviti Ice Breaking yang memfokus kepada kemahiran saintifik dan konsep sains; pertandingan Inquiry-Based Science Education (IBSE) untuk meningkatkan pemikiran kritis; dan aktiviti Micro:Bit yang menggalakkan komunikasi inovatif dan penyelesaian masalah melalui teknologi digital.

    Selain itu, mereka juga berjaya menyelesaikan projek Engineering Design Process (EDP) yang mendorong kreativiti dan kerja berpasukan.

    Antara aktiviti EDP yang dikendalikan oleh Institut Pendidikan Guru Kampus Kent, Sabah. – GAMBAR SERAHAN JSS, KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Dayang Nur Arisya Syifa bergambar bersama hadiah yang diterima. – GAMBAR SERAHAN JSS, KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Para peserta yang mewakili Brunei dalam STEM STEC 2024 bergambar ramai pada program itu. – GAMBAR SERAHAN JSS, KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Aktiviti Fun With Microscope dan Fly High With Drones yang dikendalikan oleh Universiti Malaysia Sabah. – GAMBAR SERAHAN JSS, KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    Kem tersebut bukan sahaja memberikan pelbagai pengalaman pembelajaran tetapi juga meraikan kejayaan mereka. Dalam satu pencapaian yang membanggakan, sekumpulan pelajar dari Negara Brunei Darussalam, Malaysia, dan Indonesia (Kumpulan 2) muncul sebagai juara keseluruhan STEC 2024. Pencapaian berkenaan menunjukkan semangat kerja berpasukan yang luar biasa dan usaha kolektif mereka untuk mencapai kejayaan.

    Selain itu, satu lagi kumpulan pelajar yang turut disertai oleh pelajar Brunei bersama rakan mereka dari Malaysia dan Indonesia berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan IBSE. Usaha kolektif tersebut menyerlahkan semangat kerja berpasukan dan pengaplikasian kemahiran pemikiran kritis yang telah dipupuk sepanjang kem berkenaan.

    Mengulas mengenai aktiviti EDP, Dr Chiam Sun May, yang merupakan seorang pensyarah dari Institut Pendidikan Guru Kampus Kent sekali gus mengetuai sesi tersebut, menyatakan melalui projek EDP dan penggunaan buku nota sains, pelajar-pelajar dari Brunei menunjukkan asas yang kukuh dalam pendekatan EDP dan mampu mengaplikasikannya dengan berkesan dalam penyelesaian masalah. Mereka juga mahir menggunakan buku nota sains, mendokumentasikan pemerhatian dan penemuan mereka seperti saintis sebenar.

    Melalui pemerhatian beliau, wujudnya tahap persediaan yang tinggi dalam kalangan Brunei dan menekankan keupayaan mereka untuk mengaplikasikan ilmu STEM dalam konteks dunia sebenar. Selain itu, semua aktiviti dalam STEC 2024 sememangnya telah dirancang dengan teliti untuk memberikan pengalaman bermakna kepada para pelajar sambil memperluaskan batasan pembelajaran di luar bilik darjah konvensional.

    PLATFORM UNTUK PERKEMBANGAN ANTARA GURU DAN PELAJAR

    Kem berkenaan bukan sahaja bermanfaat untuk pelajar dari Brunei, bahkan juga guru-guru. Antaranya guru-guru Brunei dan negara-negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia berpeluang berinteraksi, bertukar amalan terbaik serta mendapatkan pandangan tentang kaedah pengajaran yang berbeza.

    Pengalaman tersebut memberikan guru-guru Brunei inspirasi baharu untuk memperkayakan pembelajaran STEM di bilik darjah mereka.

    Seorang guru dari Sekolah Rendah Lamunin, Awang Abas bin Haji Ali antaranya berkongsi pengalaman bahawa para pelajar Brunei yang menyertai STEC 2024 terdedah kepada persekitaran pembelajaran dinamik dan interaktif, yang menggalakkan mereka meneroka STEM melalui aktiviti dan cabaran penyelesaian masalah.

    “Kerjasama dengan delegasi dari negara-negara serantau memperluaskan perspektif mereka, memupuk pemikiran global dan meningkatkan penghargaan mereka terhadap bidang STEM,” tambah beliau.

    Sementara itu, Awang Mohamad Syahril bin Norudin, guru dari Sekolah Rendah Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien turut meluahkan pandangan positifnya di mana semasa STEC 2024 di Sekolah Kebangsaan Pekan Menumbok, ia telah mewujudkan nilai-nilai inspirasi dengan melihat ketulusan seorang guru dari Kota Kinabalu membimbing para pelajar Brunei dalam aktiviti STEM yang menyeronokkan dan interaktif.

    “Melihat semangat kerja berpasukan dan kegembiraan mereka mencipta kenangan yang amat bermakna dan akan saya hargai selamanya,” ujarnya.

    LUAHAN ISTIMEWA PELAJAR BRUNEI

    Memenangi Anugerah Peserta Pelajar Perempuan Terbaik STEC 2024 merupakan kemuncak perjalanan Dayang Nur Arisya Syifa binti Muhd Norzairi sebagai pelajar Brunei yang menyertai program tersebut.

    Salah seorang peserta yang menuntut di Sekolah Rendah Rimba II antaranya mengongsikan pengalaman peribadinya sepanjang mengikuti STEC 2024 itu dengan berkata mereka dibahagikan kepada kumpulan dengan peserta dari negara yang berbeza, yang mengajar mereka tentang kerja berpasukan dan kepentingan kepelbagaian.

    “Aktiviti seperti eksperimen tekanan air dan membina robot yang dapat mengesan cahaya dan suhu bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga mendidik,” kongsinya penuh kegembiraan.

    Seorang lagi peserta Brunei, Dayang Nur Hazarena Alina binti Abdullah dari Sekolah Rendah Awang Haji Mohd Yusof Katimahar, berkongsi pengalamannya menyertai STEC 2024 merupakan pengalaman pertamanya.

    “Saya sangat gembira dapat berjumpa rakan baharu dari Malaysia dan Indonesia. Kami belajar banyak perkara baharu seperti Micro:Bit. Dalam Micro:Bit, saya belajar bahawa jika kereta tidak berfungsi atau bergerak, kita tidak boleh berputus asa. Kita boleh memikirkan, menyesuaikan apa yang salah dan mencubanya semula. Pengalaman ini memberikan saya motivasi untuk terus berusaha dan belajar lebih banyak tentang STEM,” ujarnya penuh keyakinan.

    MENGUKUHKAN HUBUNGAN SERANTAU MELALUI STEM

    STEC 2024 mengukuhkan potensi kerjasama dan inovasi dalam membentuk minda muda, khususnya di rantau ini. Dengan menggabungkan cabaran akademik dan pertukaran budaya serantau, program seumpama itu memberikan inspirasi kepada para pelajar untuk melihat STEM bukan hanya sebagai mata pelajaran malahan juga sebagai alat penting untuk memberi impak bermakna kepada masyarakat, termasuk di negara ini.

    Kejayaan program tersebut mengukuhkan kepentingan inisiatif dalam menyediakan pemimpin masa depan yang inovatif, berdaya tahan dan berpandangan jauh. Seiring dengan perkembangan dunia, program STEC akan terus memainkan peranan penting dalam membekalkan generasi muda serantau dengan kemahiran dan pengetahuan untuk menghadapi cabaran masa depan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda