Kem. Kesihatan: Laman Brunei Dot Com 2.0 muat naik berita tidak tepat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Kementerian Kesihatan, dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, memaklumkan bahawa artikel mengenai ‘Lelaki India ditahan ketika kutip derma’ yang dimuat naik oleh Brunei Dot Com 2.0 di dalam media sosial Facebook adalah tidak tepat.

Kenyataan menyatakan bahawa artikel yang telah diambil daripada surat akhbar tempatan keluaran Sabtu/Ahad, 5/6 September 2020 itu adalah berita yang telah berlaku pada 19 tahun yang lalu dan bukannya berlaku pada baru-baru ini seperti yang dilaporkan di Brunei Dot Com 2.0 berkenaan.

Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan untuk tidak merasa cemas dengan berita tersebut.

Kementerian Kesihatan juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan percaya akan maklumat dan berita yang disebarkan melalui internet atau melalui media sosial tanpa memastikan kesahihannya.

Orang ramai juga diperingatkan untuk lebih bertanggungjawab dan tidak turut menyebarluaskan sebarang perkara yang tidak disahkan oleh Kementerian Kesihatan.

Perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih, apatah lagi yang palsu dan direka oleh mereka yang semata-mata berniat untuk mengelirukan menjadi kesalahan dan boleh dilaporkan di bawah Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 (Public Order Act, Cap 148) Seksyen 34, iaitu sesiapa yang sama ada menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah, yang menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh dipenjarakan tiga tahun dan denda sebanyak $3,000.

Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan di talian 148 atau menghubungi Talian Darussalam 123.