Kem. Kesihatan raikan Hari Jururawat, Bidan A’bangsa

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Kementerian Kesihatan dan jabatan-jabatan di bawahnya, hari ini, telah mengadakan Majlis Tahlil dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa 2022 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang diselajurkan dengan meraikan saudara baharu ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr Ang Swee Hui, para pengarah, pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

Majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan diikuti dengan bacaan tahlil beramai-ramai serta bacaan Doa Selamat yang diketuai oleh Awang Nor Asilin bin Haji Awang Puting.

Sementara itu, majlis diteruskan lagi bagi meraikan 10 orang saudara baharu yang terdiri daripada jururawat dan bidan yang bertugas di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Hospital Suri Seri Begawan yang diserikan dengan laungan Dikir Marhaban.

Yang Berhormat Dato turut menyampaikan cenderahati kepada saudara-saudara baharu yang diraikan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut.
Antara yang hadir pada Majlis Tahlil dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa 2022 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.