Kem. Kesihatan siasat sebelum arah operasi syarikat ditutup

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Orang ramai dinasihatkan untuk tidak bimbang jika mendapat tahu ada beberapa buah syarikat yang masih beroperasi meskipun sebelum itu terdapat kakitangan mereka didapati positif.

Ini kerana, pihak kementerian akan melakukan siasatan terlebih dahulu ke atas syarikat tersebut dan menemu bual kes positif dan rakan kontak rapat mereka yang positif, selain mengarahkan syarikat tersebut untuk melakukan pembersihan atau sanitasi.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara tersebut semasa sesi soal jawab pada sidang media dan seterusnya menekankan orang ramai juga seharusnya perlu memahami tentang pelan kelangsungan perniagaan (BCP) sesebuah syarikat itu.

“Jika kedai tersebut mempunyai 200 pekerja dan mereka dapat membersihkan tempat tersebut dengan cara yang betul dan bagaimana mereka dapat menangani jangkitan tersebut maka pihak kementerian tidak akan mengarahkan mereka untuk menutup operasi yang mana penutupan ini juga bergantung kepada BCP yang dilaksanakan oleh syarikat berkenaan,” ujar beliau lagi.

Orang ramai yang menularkan mengenai syarikat tertentu yang masih beroperasi itu juga suatu perkara yang baik dan dapat membantu pihak kementerian menjalankan siasatan namun, Yang Berhormat Dato juga menasihatkan sebelum mengongsikan informasi tersebut, orang ramai juga perlu mengetahui bagaimana sesebuah syarikat tersebut beroperasi.

“Pada masa ini, Kementerian Kesihatan juga sedang bekerjasama dengan Pasukan Polis Diraja Brunei untuk menyiasat beberapa kes melibatkan kontak mempunyai kod merah yang dipaksa bekerja,” tambahnya.