Kem. Kesihatan terima mesin penjujukan genom

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Kementerian Kesihatan pagi tadi telah menerima mesin penjujukan genom (genome sequencing machine) COVID-19 berserta peralatan dan bahan-bahan keperluan lain yang disumbangkan oleh Syarikat IDG Capital.

Sumbangan yang bertujuan untuk memberi sokongan kepada usaha-usaha Negara Brunei Darussalam dalam menangani COVID-19 itu telah diserahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah kepada Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri
Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.

Majlis penyerahan diadakan di Makmal Klinikal Diagnostik Molekular bagi Penyakit Berjangkit, Jabatan Perkhidmatan Makmal di Kampung Bukit Bendera, Tutong.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Pemangku Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei (BIA), Haji Sofian bin Mohammad Jani dan Pengarah Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Surita binti Haji Mohamad Taib.

Antara yang disumbangkan adalah penjujuk genetik DNBSEQ-G50, stesen kerja analisis bioinformatik MegaBOLT, perisian SARS-CoV-2 ATOPlex, kit tindak balas penjujukan, kit reagen, kit circularization dan RNA prep set.

Sumbangan daripada rakan-rakan kongsi kanan IDG itu merupakan hasil kerjasama rapat bersama MGI Tech Co Ltd dengan bantuan daripada Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB).

Penghantaran sumbangan telah dibawa melalui penerbangan RB BI636 dari Hong Kong, kelmarin.

Peralatan yang disumbangkan itu mengukuhkan lagi kemampuan Kementerian Kesihatan dalam menangani pandemik COVID-19 dengan penyediaan teknologi yang akan membantu proses penjujukan ke atas sampel-sampel positif COVID-19 dengan kapasiti yang berkeupayaan menjalankan 96 sampel bagi setiap jujukan dan mengesan varian mutasi COVID-19 dalam masa dua hari.

Peralatan berkenaan akan mula beroperasi dalam masa terdekat dan ditempatkan di Makmal Klinikal Diagnostik Molekular bagi Penyakit Berjangkit, Jabatan Perkhidmatan Makmal.

Peralatan tersebut telah dihasilkan oleh MGI, pengeluar utama dalam clinical high-throughput gene sequencers dan syarikat terkemuka dalam industri peralatan sains dan teknologi kehidupan. Peralatan-peralatan dan produk-produk MGI telah digunakan secara meluas di seluruh dunia untuk menjalankan ujian virus COVID-19 dan menganalisis variasinya.

IDG adalah rakan pelaburan strategik BIA yang merupakan sebuah firma pelaburan ekuiti persendirian yang terkemuka, dan memberi tumpuan kepada memperkembangkan perniagaan-perniagaan luar biasa dan telah menjadi perintis di Republik Rakyat China sejak 1993.