Kem. Kesihatan terima pelbagai sumbangan

Oleh Sim Y. H. & Yusrin Junaidi
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Lebih banyak sumbangan telah disalurkan kepada Kementerian Kesihatan oleh pelbagai pihak di negara ini sebagai sokongan dalam sama-sama membendung dan menangani penularan wabak COVID-19.

Antara yang menghulurkan sumbangan pada hari ini adalah Syarikat Pelabuhan Muara Sdn Bhd (MPC), syarikat usaha sama antara Darussalam Assets Sdn Bhd dan Beibu Gulf Holding (Hong Kong) Co, yang menyumbangkan $50,000 kepada Tabung Bantuan COVID-19.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan MPC, sumbangan itu adalah sebahagian daripada sokongan MPC yang berterusan kepada kerajaan dalam usaha membendung penularan COVID-19.

Sebagai tambahan, MPC juga memaklumkan bahawa mereka telah mengecualikan bayaran pelabuhan untuk pengimportan semua kargo yang berkaitan dengan bekalan perubatan dan peralatan yang bertujuan untuk penggunaan Kementerian Kesihatan bagi memerangi wabak COVID-19.

Di samping itu, syarikat berkenaan juga menyumbangkan sebanyak 10,000 pelitup muka kepada Kementerian Kesihatan.

Wakil Aewon menyampaikan sumbangan berupa pelbagai jenis baju T.
Wakil Pensonic, Nordin Jaya, Ezy Printing Services dan T.S.M Sdn Bhd bergambar bersama sumbangan berupa pelitup muka daripada syarikat masing-masing.
Wakil Projek FEED menyumbangkan cawan kertas, pencuci tangan dan baju T.
Sumbangan air mineral diterima daripada Restoran Raziqin.

Ketua Pegawai Eksekutif MPC, Zeng Caili dipetik berkata bahawa syarikat berkenaan komited dalam menyediakan sokongan tambahan yang mampu untuk membantu Kementerian Kesihatan menangani wabak tersebut.

Sementara itu, semalam, 14 penyumbang yang terdiri daripada syarikat swasta dan penyumbang peribadi menghulurkan sumbangan kepada Kementerian Kesihatan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, hari ini, para penderma berkenaan adalah Intracorp Sdn Bhd yang menyumbangkan peti sejuk, ketuhar dan kipas; T.L.T Enterprise dan Restoran Raziqin menyumbangkan air mineral; Pensonic (B) Sdn Bhd, Nordin Jaya Sdn Bhd, Ezy Printing Services Sdn Bhd dan T.S.M Sdn Bhd menyumbangkan pelitup muka; HKS Nature Trading Company menyumbangkan air mineral; Visionmed Sdn Bhd menyumbangkan HME Filter; Projek FEED menyumbangkan cawan kertas, pencuci tangan dan baju T serta Aewon yang menyumbangkan pelbagai jenis baju T.

Penyumbang-penyumbang peribadi pula terdiri daripada Fakhrina Samsu yang menyumbangkan mesin pencuci pakaian; Hui Ling yang menyumbangkan air mineral dan Dayang Nur Afiqah binti Metusin menyumbangkan air mineral dan minuman vitamin.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan itu lagi, menyarankan bahawa orang ramai yang ingin membuat sebarang sumbangan, mereka boleh berhubung terus dengan Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan (MOHEOC) melalui talian 7295712 pada waktu bekerja sahaja.