BEIRUT, 27 DIS – Lebih 300 orang pelarian terpaksa meninggalkan khemah mereka di utara Lubnan ketika kebakaran berlaku dan meranapkan khemah mereka, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan pegawai Lubnan hari ini.
Kebakaran yang berlaku lewat kelmarin berlaku selama empat jam ketika pegawai bomba berusaha untuk memadam kebakaran, menurut pertahanan awam Lubnan.
Kebakaran tercetus berikutan pertempuran antara sebuah keluarga Lubnan di al-Miniyeh bahagian utara negara dan penduduk Syria yang tinggal di dalam khemah, menurut laporan media Lubnan.
Pegawai Lubnan berkata pihak tentera sedang menyiasat punca kebakaran dan akan membuat serbuan untuk menahan mereka yang bertanggungjawab atas kejadian tersebut. Pegawai berkata tanpa menyebut nama kerana kenyataan rasmi belum dikeluarkan.
Khaled Kabbara, jurucakap Agensi Pelarian PBB di utara Lubnan, berkata kira-kira 375 orang yang tinggal di penempatan sementara terpaksa dipindahkan ke kawasan yang disewa. Dia berkata keseluruhan khemah ranap dalam kebakaran.
Kabbara berkata empat orang mengalami kecederaan dalam kebakaran dan dimasukkan ke dalam hospital dengan kecederaan ringan.
Kebanyakan pelarian mencari tempat di kawasan yang lain. Sebilangan penduduk tempatan turut menawarkan pelindungan, kata Kabbara.
Kabbara berkata perbalahan antara penduduk dan pelarian Syria sering ‘memberikan impak buruk kepada komuniti secara keseluruhan’.
Ketegangan sering berlaku di Lubnan antara penduduk dan pelarian Syria yang melarikan diri dari peperangan di negara mereka. Lubnan menempatkan lebih daripada satu juta orang pelarian, hampir suku dari penduduk negara yang mempunyai penduduk seramai lima juta orang, membebankan negara yang turut mempunyai kepincangan infrastruktur.- AFP































