Kem pelarian terbesar Greece dijilat api

ATHENS, 9 SEPT – Kebakaran yang meranapkan kem pelarian terbesar di Greece yang dikenakan perintah berkurung COVID-19, telah menyebabkan lebih dari 12,000 pelarian dalam keadaan darurat memerlukan perlindungan di pulau Lesbos kelmarin.

Dalam kejadian dramatik semalam, penghijrah dari kem pelarian Moria menyelamatkan diri daripada kebakaran yang merebak ke beberapa kawasan dan memusnahkan kem dan kebun buah zaitun berhampiran. Bantahan turut berlaku yang melibatkan para pelarian, polis rusuhan dan anggota bomba.

“Malam yang sangat sukar,” jurucakap kerajaan, Stelios Petsas berkata, menambah bahawa negara akan mengeluarkan perintah darurat lewat hari ini ke atas pulau berkenaan. Kira-kira 12,500 orang yang tinggal di kem Moria dan kawasan sekitarnya, di mana sekatan tambahan telah dikenakan sejak beberapa minggu lalu selepas penduduk Somalia diuji positif dijangkiti koronavirus. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Kebakaran terjadi semalaman, pihak polis dan pegawai bomba di pulau tersebut memberitahu The Associated Press, menambah punca kebakaran dan kemusnahan menyeluruh masih belum diketahui. Mereka tidak mengesahkan laporan setempat bahawa api sengaja dinyalakan semasa protes langkah perintah berkurung tetapi pegawai bomba telah ‘menemui tentangan’ dari beberapa penduduk kem.

Jurucakap kerajaan, Petsas berkata bahawa perbuatan membakar dengan sengaja turut dipertimbangkan sebagai punca kebakaran. Sebelum subuh, polis rusuhan berhimpun di lebuh raya berhampiran dengan kawasan sekatan pergerakan pelarian. – AFP

Lebih dari 12,000 pelarian kehilangan tempat berlindung setelah kem mereka dijilat api di kem Moria, pulau Lesbos, Greece. – AP