Kem. Pembangunan adakan dialog bersama QP, RBD

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Kementerian Pembangunan melalui Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) dengan kerjasama Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) kelmarin mengadakan sesi taklimat dan dialog bersama Orang Berkelayakan (Qualified Persons-QP) dan Tukang Pelan Berdaftar (Registered Building Draughtsman-RBD) yang berdaftar di bawah Lembaga Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan (BAPEQS) di Dewan Indera Pahlawan, Kementerian Pembangunan.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Haji Arefin bin Haji Jaya. Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan dan pegawai kanan serta pihak berkepentingan.

Menurut kenyataan diterima di sini, sesi taklimat dan dialog itu merupakan aktiviti berterusan pihak kementerian menjadikan perjumpaan itu satu platform memberigakan maklumat atau perubahan melibatkan permohonan kemajuan diproses di JPBD dan ABCi sebagai langkah mempertingkatkan keberkesanan perkhidmatan, mendapat maklum balas pihak berkenaan dan mengenal pasti pembaikan bagi memudahkan proses permohonan.

Tujuan sesi dialog adalah untuk memaklumkan perubahan kepada penyelarasan proses serta tatacara bagi menghadapkan permohonan kemajuan untuk cadangan membina sebuah rumah berasingan (satu unit) sahaja yang akan bermula berkuat kuasa pada 1 September ini.

Pihak QP dan RBD hendaklah terlebih dahulu untuk mendapatkan pengesahan infrastruktur dari jabatan-jabatan berkepentingan seperti Jabatan Jalan Raya, Jabatan Saliran dan Pembetungan, Jabatan Perkhidmatan Air dan Jabatan Perkhidmatan Elektrik melalui e-mel sebelum mendapatkan Kebenaran Perancangan (Planning Permission) dari Autoriti Perancang dan seterusnya Kebenaran Kemajuan (Building Approval – BA), Borang C – Kebenaran Memulakan Kemajuan (Form C – Permit to Carry Out Building Works) dan Kesiapan Kemajuan (Occupation Permit – OP) dari pihak ABCi.

Menurut kenyataan itu lagi, keperluan untuk mendapatkan pengesahan jabatan berkenaan adalah merupakan tanggungjawab QP dan RBD sebagai sebahagian dari Feasibility Study semasa penyediaan cadangan reka bentuk dalam memastikan keperluan infrastruktur secara menyeluruh adalah tersedia dan mencukupi seperti keperluan jalan laluan, penyambungan air dan elektrik, aliran longkang dan sistem pembetungan.

Lebih kurang 80 peratus permohonan kemajuan di negara ini adalah bagi permohonan membina sebuah rumah. Sasaran awal bagi proses baru ini adalah bagi permohonan membina sebuah rumah (satu unit) di mana ianya diharapkan akan membukakan banyak peluang untuk memiliki rumah dengan lebih mudah dan cepat, di samping memastikan kualiti kemajuan yang berdaya tahan melalui penyediaan infrastruktur yang optimum dan teratur.