Kem. Pembangunan akhiri majlis tadarus Al-Quran

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya, hari ini, telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran, Bertahlil dan Berbuka Puasa bagi menandakan berakhirnya pembacaan 30 juzuk Al-Quran dalam bulan Ramadan oleh pegawai dan kakitangannya.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Masjid Kampung Bengkurong itu ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pem-bangunan; Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria, ketua-ketua jabatan, divisyen dan unit, pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya serta penduduk di sekitarnya.

Majlis Khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan dan diikuti dengan bacaan surah-surah lazim beramai-ramai dan diteruskan dengan bacaan tahtim dan Doa Khatam.

Kemudian, majlis turut diisikan dengan bacaan tahlil, berbuka puasa dan diakhiri dengan menunaikan solat Fardu Maghrib berjemaah.

Majlis seumpama ini adalah sebahagian daripada kegiatan keagamaan yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan bersempena dengan bulan Ramadan Al-Mubarak.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Kampung Bengkurong, kelmarin.