Kem. pembangunan anjur majlis keagamaan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36, tahun ini, Kementerian Pembangunan telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran, Membaca Tahlil dan Doa Kesyukuran yang berlangsung di Surau Kementerian Pembangunan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Setiausaha Tetap (Infrastruktur Perumahan dan Profesional, Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-undang), Sr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub, para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan dan diikuti dengan bacaan surah-surah lazim beramai-ramai. Manakala itu, Doa Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 dibacakan oleh Penolong Pegawai Projek Tingkat 1, Divisyen Penyelarasan Polisi dan Perancangan Strategik, Kementerian Pembangunan, Awang Mohammad Khairul bin Jackariah.

Majlis antara lain bertujuan untuk menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dengan pengisian bermanfaat terutama dengan pembacaan Al-Quran. Di samping itu, ia juga bagi menggalakkan pegawai dan kakitangan di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya untuk sentiasa mengamalkan pembacaan Al-Quran.