Kem pendatang di Pulau Samos terbakar

SAMOS, GREECE, 20 SEPT – Sebuah kem pendatang Vathy di Pulau Samos, Greece terbakar dalam kejadian kebakaran semalam.

Datuk Bandar Samos, Girgos Stantzos berkata semua penghuni dipindahkan ke tempat selamat ketika kebakaran berlaku.

Lima jentera bomba digunakan untuk memadamkan kebakaran, sementara Kementerian Imigresen menerusi kenyataan berkata kebakaran itu berjaya dikawal.

Beberapa pelarian termasuk kanak-kanak dilihat menangis ketika dibawa berkumpul di kawasan letak kereta berdekatan kem terbabit.

“Mereka yang berada di dalam kem tidak berada dalam keadaan bahaya berikutan kebakaran membabitkan gudang terbengkalai di bahagian barat kem,” menurut kementerian itu.

Kem yang akan ditutup pada hujung bulan ini masih menempatkan kira-kira 300 orang yang sedang menunggu untuk dipindahkan ke kem baharu.

Kem baharu yang dibuka Sabtu lalu oleh Menteri Imigresen, Notis Mitarachiadalah antara lima kem pelarian yang mendapat bantahan kumpulan hak asasi manusia berikutan kawalan akses keluar masuk yang ketat.

Kawat duri memagari seluruh kawasan berkeluasan 12,000 meter persegi yang antara lain dilengkapi kamera pemantauan, pengimbas sinar X dan pintu magnetik.

Ia turut menempatkan pusat tahanan pendatang dan pencari suaka yang tidak diluluskan dan akan dihantar kembali ke Turki. – AFP

Khemah sementara untuk pendatang dan pelarian terbakar di Bandar Vathy, pulau Samos, lewat 19 September 2021. – AFP