Kem. Pendidikan terima sumbangan peranti

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Sebanyak 135 komputer riba, 78 tablet dan 50 kad SIM telah diterima pada majlis penyerahan sumbangan yang diadakan secara maya, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penyerahan sumbangan pada majlis yang bermatlamat untuk memberi penghargaan kepada penyumbang-penyumbang dalam menyokong inisiatif pembelajaran dalam talian khusus bagi pelajar-pelajar yang memerlukan itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, pada majlis berkenaan, sumbangan berupa komputer riba sebanyak 30 unit telah diterima daripada kumpulan setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, 100 buah daripada Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) dan lima buah disumbangkan Pejabat Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan.

Manakala itu, 78 tablet diterima daripada Dynamik Technologies Sdn Bhd, dan Progresif Sdn Bhd melalui inisiatif kempen Goals for Education serta 50 kad SIM daripada imagine Sdn Bhd.

Antara yang hadir menyaksikan majlis tersebut ialah setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, pemangku ketua eksekutif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI), ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan, Kementerian Pendidikan.

Majlis juga dihadiri oleh wakil-wakil penyumbang iaitu pengarah urusan BSP, ketua pegawai eksekutif Dynamik Technologies, ketua pegawai eksekutif Progresif dan ketua pegawai eksekutif imagine.

Kenyataan menyatakan bahawa majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat serta diikuti dengan ucapan daripada Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan yang diadakan secara maya oleh para penyumbang.

Kempen sumbangan masih dibukakan kepada orang ramai sehingga 30 September ini.

Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi Kementerian Pendidikan di talian 7163184, pihak AITI di talian 8198404 semasa waktu bekerja atau melalui e-mel ke [email protected] atau melayari laman sesawang Kementerian Pendidikan di www.moe.gov.bn.