Kem. Pertahanan, ABDB adakan majlis kesyukuran HK

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Majlis Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 bagi peringkat Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah diadakan di Surau Ad-Difa’, Kementerian Pertahanan, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Ketua Staf ABDB, Kapten Spry bin Haji Serudi @ Haji Seruji, TLDB. Kenyataan menyatakan lagi bahawa majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Sarjan Izzat bin Hamdan dan diikuti dengan solat fardu Maghrib berjemaah.

Acara diteruskan dengan bacaan Surah Yasin, solat sunat hajat dan solat fardu Isyak berjemaah, yang dipimpin oleh Awang Shuib bin Haji Abdullah.

Kenyataan turut menyatakan bahawa majlis seumpamanya juga diadakan di kesemua surau di perkhemahan dan garison ABDB.

Majlis Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 bagi peringkat Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB). – Gambar serahan Kementerian Pertahanan