Kem. Pertahanan, ABDB terima sumbangan daripada China

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menerima sumbangan peralatan perubatan daripada Kementerian Pertahanan Nasional Republik Rakyat China dalam usaha menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Majlis penyerahan rasmi sumbangan berkenaan telah diadakan di Kementerian Pertahanan, hari ini, di mana hadir menerima sumbangan tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan di-serahkan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong.

Sumbangan yang termasuk alat uji suhu badan dan peralatan perlindungan diri (PPE) itu telah ti-ba di Pusat Gerakan Udara (PGU), Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Pangkalan Udara Rimba menggunakan pesawat tentera Ilyushin IL-76 dari Tentera Udara People’s Liberation Army pada 12 Mei lalu. Sebelum majlis penyerahan rasmi tersebut, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi telah menerima kunjungan hormat daripada PYT Yu Hong yang berlangsung di VIP Lounge, Kementerian Pertahanan.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua menyampaikan penghargaan kepada kerajaan Republik Rakyat China atas sumbangan dalam memerangi COVID-19 dan berharap kedua-dua negara akan te-rus mengukuhkan hubungan dua hala mereka.

Selain Negara Brunei Darussalam, pesawat Tentera Udara People’s Liberation Army Republik Rakyat China juga telah membuat penerbangan merentasi negara-negara ASEAN untuk menyumbangkan bekalan dan kepakaran perubatan bagi menangani jangkitan wabak COVID-19.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dan PYT Yu Hong ketika majlis penyerahan rasmi sumbangan berkenaan.