Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Pertahanan
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Kementerian Pertahanan telah menghulurkan sumbangan kepada 84 orang anak yatim yang terdiri daripada anak-anak warga kerja Kementerian Pertahanan yang telah kembali ke rahmatullah, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, sumbangan berkenaan diserahkan ke rumah-rumah kediaman setiap penerima di tiga daerah di mana sebanyak 32 buah keluarga di Daerah Brunei dan Muara, 13 buah keluarga di Daerah Tutong dan tiga buah keluarga di Daerah Belait, sebagai langkah berjaga-jaga dalam sama-sama membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Hadir bagi menyerahkan sumbangan tersebut kepada beberapa penerima di Daerah Brunei dan Muara ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof. Turut hadir pada majlis tersebut Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigadier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah.
Manakala penyerahan sumbangan bagi sebahagian penerima di Daerah Brunei dan Muara, Daerah Tutong dan Daerah Belait pula disampaikan oleh timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, Haji Amiruddin bin Haji Mohammad Hassan dan Pengiran Dr Haji Mohd Esa Al-Islam bin Pengiran Haji Mohd Yunus. Turut hadir bagi menyerahkan sumbangan tersebut ialah pengarah-pengarah awam serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan.
Acara tahunan yang diadakan pada setiap bulan Ramadan itu adalah bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan anak-anak yatim semasa menjelang bulan Syawal di samping menyemarakkan bulan Ramadan Al-Mubarak dengan membuat ibadah amal jariah.






























