Kem. pertahanan sambut Aidiladha

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Umat Islam di Negara Brunei Darussalam menyambut kedatangan Hari Raya Aidiladha dengan sembahyang sunat di kesemua masjid dan surau di seluruh negara, termasuk surau-surau Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), kelmarin.

Di Surau Ad-Difa’, Kementerian Pertahanan, hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Staf ABDB, Kapten Spry bin Haji Seruji dan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan, pegawai dan anggota di Kementerian Pertahanan dan ABDB. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan disusuli dengan takbir, sembahyang Sunat Aidiladha serta khutbah Hari Raya Aidiladha yang telah disampaikan oleh Imam Surau Ad-Difa’, Awang Suhif bin Haji Abdullah.

Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha telah dilaksanakan mengikut garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan tujuan untuk mengawal penyebaran COVID-19.

Kapten Spry bersama pegawai-pegawai Kementerian Pertahanan dan ABDB ketika hadir pada majlis tersebut. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan