Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Kementerian Pertahanan telah menerima lawatan
rasmi daripada Panglima Tentara Nasional Indonesia (TNI), Yang Terhormat Jenderal TNI Dato Paduka Seri Andika Perkasa yang mengadakan lawatan ke Negara Brunei Darussalam dari 6 hingga 8 September.
Sejurus tiba di Bolkiah Garison, Panglima TNI disambut oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan diikuti dengan perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota-anggota Tentera Darat Di-raja Brunei (TDDB).
Terdahulu di Kementerian Pertahanan, Yang Terhormat Jenderal TNI Dato Seri Paduka Andika Perkasa mengadakan kunjungan hormat yang berasingan kepada Timbalan Menteri Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abd. Kadir dan Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi.
Semasa perjumpaan itu, kedua-dua pihak menekankan komitmen untuk meningkatkan lagi hubungan pertahanan di antara kedua-dua angkatan tentera ke arah menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.
Semasa lawatan ini, Pemerintah ABDB dan Panglima TNI telah mempengerusikan bersama Mesyuarat Brunei Darussalam-Indonesia High Level Committee (BRUNESIA HLC) ke-4 di antara ABDB dan TNI di Akademi Pertahanan ABDB.
BRUNESIA HLC merupakan mesyuarat yang diadakan setiap dua tahun secara bergilir-gilir di Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia yang bertujuan bagi memperkukuhkan kerjasama pertahanan khususnya dalam bidang perisikan, operasi dan eksesais, latihan dan pendidikan serta logistik.
Sebagai sebahagian daripada lawatan itu, Panglima TNI turut mengadakan sesi perbincangan bersama peserta Kursus Maktab Turus ABDB ke-12 dan membuat kunjungan ke Batalion Ketiga, TDDB di Perkhemahan Lumut.
Majlis makan malam rasmi bersama Panglima TNI dan delegasi juga telah dihoskan oleh Pemerintah ABDB dan turut dihadiri oleh para pegawai kanan ABDB.
Dalam bidang pertahanan, Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia mempunyai hubungan yang rapat dan sudah lama terjalin yang merangkumi lawatan, pertukaran profesional, eksesais, latihan dan kursus.