Kem Rohingya dikenakan perintah lockdown

COX’S BAZAR, 9 APRIL – Bangladesh mengenakan lockdown sepenuhnya ke atas sebuah kawasan yang menempatkan lebih sejuta pelarian Rohingya dari Myanmar, Cox’s Bazar, bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Pakar memberi amaran bahawa wabak berkenaan akan merebak dengan pantas memandangkan kem berkenaan sesak dan padat selain keadaan persekitaran yang kurang bersih. Tiada kes dicatatkan dalam kalangan pelarian di kem itu setakat ini, namun terdapat satu kes dilaporkan di kawasan berhampiran.

Berikutan jumlah kes meningkat dua kali ganda mencecah 200 di seluruh negara dalam tempoh lima hari termasuk 20 kematian, pihak berkuasa membuat keputusan untuk mengenakan lockdown sepenuhnya di kawasan berkenaan.

Menurut pengarah kesihatan negara itu, tiada sebarang aktiviti masuk atau keluar dibenarkan sehingga keadaan semakin baik.

Pasukan polis dan tentera akan mengadakan sekatan jalan raya di laluan utama di daerah ini yang menempatkan 3.4 juta penduduk termasuk pelarian Rohingya selain turut mengadakan rondaan sekitar kem.

Pesuruhjaya pelarian, Mahbub Alam Talukder, berkata sekatan pergerakan ke atas kakitangan bantuan juga turut dikenakan menyebabkan jumlahnya terpaksa dikurangkan sehingga 80 peratus.

“Hanya bekalan makanan kecemasan dan perkhidmatan perubatan dibenarkan terus beroperasi di sini namun dengan langkah berjaga-jaga yang teliti,” katanya.Katanya, mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam masa terdekat juga tidak dibenarkan memasuki kem berkenaan sehingga tamat tempoh kuarantin. – AFP

Beberapa orang pelarian Rohingya berjalan berhampiran kedai ditutup dekat lorong lengang di kem pelarian selepas kerajaan Bangladesh melaksanakan lockdown menyeluruh ke atas daerah pelarian, Cox’s Bazar sebagai usaha mencegah penularan COVID-19. – AFP