COX’S BAZAR, BANGLADESH, 5 MAC – Kebakaran besar melanda kem pelarian etnik Muslim Rohingya yang penuh sesak di selatan Bangladesh hari ini, menyebabkan beribu-ribu kehilangan tempat tinggal, kata seorang pegawai bomba dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan di kem Balukhali di daerah Cox’s Bazar, kata seorang pegawai bomba, Emdadul Haque.
UNHCR di Bangladesh berkata dalam Twitter bahawa sukarelawan pelarian Rohingya bertindak balas terhadap kebakaran dengan agensi dan rakan kongsinya memberi sokongan namun tidak memberi maklumat lanjut.
Lebih satu juta pelarian Rohingya telah melarikan diri ke Bangladesh dari Myanmar selama beberapa dekad, termasuk kira-kira 740,000 yang menyeberangi sempadan bermula Ogos 2017, apabila tentera Myanmar melancarkan tindakan keras.
Keadaan di Myanmar bertambah buruk sejak pengambilalihan tentera pada 2021, dan percubaan untuk menghantar pulang pelarian berdepan kegagalan.
Tahun lalu, Amerika Syarikat (AS)berkata penindasan Rohingya di Myanmar sama dengan pembunuhan beramai-ramai selepas pihak berkuasa AS mengesahkan kekejaman besar-besaran terhadap orang awam dilakukan tentera dalam kempen sistematik terhadap etnik minoriti itu. – AP