Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Kemahiran hidup penting demi masa depan

    Oleh Yusrin Junaidi

    Golongan kanak-kanak pada masa ini lebih mudah terdedah kepada teknologi digital. Mereka sudah terbiasa mendapatkan sebarang maklumat di hujung jari dan agak pantas menggunakannya.

    Perkembangan kanak-kanak seharusnya dipupuk secara holistik dari usia yang sangat muda, sejajar perkembangan bahasa, fizikal, kognitif, sosial dan rohani mereka.

    Perkara ini diketengahkan semasa temu bual bersama Penolong Profesor Pendidikan Awal Kanak-kanak, Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHIBIE), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Nordiana binti Haji Zakir, pada bengkel sempena Hari Kanak-kanak Sedunia ke-16 anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), baru-baru ini.

    Dr Nordiana ketika dihubungi penulis, berkata mewujudkan persekitaran yang membolehkan anak-anak kita berdaya tahan dan boleh menyesuaikan diri untuk kehidupan masa depan adalah penting di mana kita harus bekerjasama dan terlibat secara langsung dalam segala aspek perkembangan mereka.

    Mengajar kanak-kanak bagaimana menjaga diri mereka adalah salah satu kemahiran hidup yang penting. Ia boleh dalam bentuk menjaga kehidupan sosial mereka, komunikasi, pemikiran, membuat keputusan dan banyak lagi. Ini bukan perkara baharu dan boleh dipupuk di dalam bilik darjah melalui gaya pengajaran dan pembelajaran yang berbeza.

    Penceramah undangan yang membentangkan beberapa perkara penting sepanjang bengkel berlangsung.
    Para penuntut menyertai beberapa aktiviti semasa bengkel berkenaan.

    Di dalam bilik darjah, mereka telah didedahkan kepada pembelajaran melalui permainan, pengalaman, penemuan, pembelajaran berasaskan masalah, pembelajaran yang berasaskan projek dan sebagainya.

    Kemahiran yang dipupuk dalam proses pembelajaran responsif pula adalah perkongsian idea dengan yakin, berkomunikasi dengan jelas dan yakin, berfikir secara kritis serta menyelesaikan masalah.

    Secara tidak langsung, kemahiran ini turut menyumbang kepada kemahiran hidup supaya anak-anak mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran dan mempunyai wawasan. Di samping itu, ia juga bertujuan membangunkan dan memupuk minda dan intelek kanak-kanak untuk membantu mereka menjadi lebih tabah apabila menghadapi masalah. Mempunyai persekitaran pembelajaran yang kondusif mewujudkan ruang pembelajaran yang selamat di mana mereka boleh berlatih menyuarakan pendapat, menghormati antara satu sama lain, mengakui perbezaan atau meluahkan perasaan bimbang.

    Mempunyai maruah sendiri sebelum menghormati orang lain

    Dr Nordiana juga berkata, kita juga perlu beringat dan sedar tentang cara hidup Melayu Islam Beraja (MIB), dan meneruskan pembelajaran juga merupakan kemahiran hidup yang penting.

    Mempunyai komunikasi yang baik dengan ahli keluarga atau mana-mana orang dewasa yang dipercayai atau orang yang berpengaruh dalam masyarakat, misalnya guru di sekolah sebagai orang dewasa yang boleh dipercayai yang boleh diajak berbincang, merupakan pendorong tambahan untuk memupuk kemahiran hidup.

    Apabila kanak-kanak mengambil berat, menghormati dan menyedari keperluan dan isu di sekeliling mereka, mereka boleh bersikap empati terhadap orang lain dalam komuniti mereka. Mereka akan menjadi lebih mudah untuk menawarkan bantuan atau memberikan bantuan dalam komuniti. Dalam usaha mencapai Wawasan Brunei 2035, kerajaan juga telah melabur dalam perlindungan kanak-kanak melalui Akta Perintah Kanak-kanak dan Orang Muda dan Rangka Kerja Kebangsaan mengenai Perlindungan Kanak-kanak. Kemahiran hidup berkenaan dapat membantu kanak-kanak menjadi lebih bahagia, berjaya dan bermotivasi dalam sekolah atau kehidupan.

    Dr Nordiana juga berkata, di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (CYPA), kanak-kanak adalah individu yang berada dalam lingkungan umur 18 tahun. Pada zaman sekarang, kanak-kanak dalam kategori tersebut bersifat lebih introvert. Mereka kurang keyakinan untuk berkomunikasi dengan orang ramai dan lebih pemalu.

    Walau bagaimanapun, kanak-kanak pada zaman ini juga berani untuk mencuba benda baharu dan lebih kreatif. Sebagai contoh, kanak-kanak berani meneroka aplikasi TikTok dan Instagram yang mana mereka sendiri boleh mencuba menyunting video walaupun mereka tidak diajar semasa di sekolah.

    Dibandingkan dengan kanak-kanak pada zaman dahulu, mereka tidak mempunyai teknologi dan lebih menumpu pada penglibatan dalam aktiviti secara fizikal. Dengan ini, kanak-kanak lebih cenderung bermain di luar dan ini membolehkan mereka menjadi lebih peramah.

    Selain perbezaan yang dilihat pada kelakuan kanak-kanak, ada juga perbezaan dalam sistem pembelajaran sekolah kanak-kanak. Pada zaman dahulu, sistem pembelajaran lebih kepada guru-guru mengarahkan pelajar (teacher-directed).

    Manakala, pada zaman sekarang sistem pembelajaran sekolah lebih memfokuskan kepada pelajar (student-centred). Guru-guru mengarahkan pelajar untuk meneroka topik dan masalah yang telah diberikan di dalam kelas. Sistem pembelajaran pada masa ini adalah lebih pantas dibandingkan daripada sistem yang dahulu.

    Kemahiran kanak-kanak sebelum dewasa

    Ada tiga kemahiran yang memainkan peranan penting yang perlu ada sebelum mereka mencapai dewasa. Kemahiran yang pertama adalah kebolehan di dalam menyelesaikan masalah. Kemahiran ini boleh diperoleh dan dibina jika pelajar melakukan aktiviti luar tanpa gajet mereka seperti berkomunikasi dengan orang awam.

    Kemahiran kedua adalah kedayatahanan, di mana dengan adanya ciri-ciri ini dalam seseorang pelajar, mereka akan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan. Ini adalah salah satu kemahiran terpenting yang perlu difikirkan oleh pelajar.

    Kedayatahanan tidak berkembang dalam satu atau dua hari, ataupun sebulan dua bulan. Tetapi, ianya boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk dipupuk.

    Kemahiran ketiga pula menyentuh tentang keupayaan dan keyakinan untuk bersuara, di mana kanak-kanak hendaklah berani menyuarakan pendapat, kekecewaan dan juga penyelesaian.

    Kemahiran hidup dan fokus kepada pembelajaran

    Dr Nordiana berkata, pada masa ini, sistem pembelajaran sekolah bagi kanak-kanak di Negara Brunei Darussalam adalah berdasarkan SPN 21. Sistem pembelajaran ini adalah lebih pantas dan lebih memfokuskan kepada pelajar. Persekitaran pembelajaran pada masa ini menjurus kepada kerjasama antara guru dan pelajar dan pertukaran buah fikiran bersama.

    Berikut adalah beberapa gaya pembelajaran dan pengajaran yang dipraktikkan di setiap sekolah yang dapat memupuk kemahiran hidup di setiap pelajar.

    Pertama sekali adalah problem-based learning; yang mana guru-guru akan memberikan beberapa kuiz ataupun isu untuk diselesaikan oleh pelajar. Kedua adalah enquiry learning; yang mana guru-guru akan menanyakan beberapa soalan untuk mengambil tahu jika pelajar mempunyai pengetahuan tentang suatu topik.

    Ketiga adalah cooperative learning yang mana guru-guru akan memberikan pelajar projek untuk membenarkan mereka bekerjasama di dalam satu kumpulan.

    “Dengan sendirinya, kemahiran kehidupan sudah pun diterapkan di dalam gaya pembelajaran dan pengajaran sekolah, yang mana pelajar akan mempunyai kemahiran dalam pemikiran kritikal, kemahiran untuk berkomunikasi, kemahiran untuk menyelesaikan masalah dan mempunyai daya tahan diri dengan sokongan daripada guru-guru di sekolah dan sebagainya.

    “Bilik darjah di sekolah merupakan satu ruang yang selamat bagi pelajar untuk memupuk beberapa kemahiran kehidupan yang akan memberikan manfaat kepada mereka pada masa hadapan,” tambah Dr Nordiana.

    Penulis turut berkesempatan menemu bual Pengasas Bersama Hand4Hand Brunei, Awang Iqbal Damit, di mana beliau menyentuh mengenai kemahiran hidup dan kenapa ia penting untuk masa depan seseorang.

    Menurut beliau, antara kemahiran hidup yang diperlukan oleh seorang pelajar semasa belajar di sekolah adalah pengurusan masa. Selain kemahiran dalam mengurus masa, kedayatahanan seseorang dan disiplin diri juga adalah penting bagi setiap pelajar. Kemahiran inilah yang akan menjadi bekalan pelajar ketika meniti kehidupan masa depan mereka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...