Kemajuan AMBD setara negara membangun

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Penubuhan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) telah melakar sejarah yang penting dalam pembangunan sektor kewangan di Negara Brunei Darussalam di mana negara telah maju ke hadapan mengikut jejak langkah negara-negara yang membangun dan sedang membangun di arena global.

Salah satu peranan utama bank pusat atau autoriti monetari adalah untuk menentukan kestabilan harga dan kestabilan kewangan secara autonomi seterusnya menyumbang kepada perkembangan kewangan dan ekonomi bagi sesebuah negara.

Perkara itu dijelaskan oleh Pengarah Urusan AMBD, Hajah Rokiah binti Haji Badar dalam ucapan alu-aluannya pada Seminar sempena Menyambut Ulang Tahun Penubuhan AMBD ke-10 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Dalam ucapannya lagi, beliau berkongsi pengalaman menerajui AMBD di mana dalam tempoh awal perkhidmatannya dengan penularan wabak COVID-19, AMBD sudah mula memantau situasi berkenaan seawal Januari 2020 serta mempertimbangkan implikasi dan risikonya terhadap AMBD khususnya berhubung pegawai dan kakitangan yang melakukan perjalanan ke luar negara pada masa itu.

“Menjelang bulan Februari 2020, AMBD telah memulakan perbincangan dan memberikan nasihat kepada institusi-institusi kewangan untuk sentiasa berwaspada dan membuat rancangan kemungkinan wabak tersebut menular ke Negara Brunei Darussalam,” jelasnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud semasa sesi bergambar ramai bersama para pegawai AMBD.
Hajah Rokiah ketika menyampaikan ucapannya pada Seminar sempena Menyambut Ulang Tahun Penubuhan AMBD ke-10 kelmarin.

Beliau berkata, “Pada pertengahan Mac 2020, AMBD telah siap sedia untuk mengaktifkan Pelan Kesinambungan Perniagaan pandemik korporat berikutan panduan dan nasihat dari Kementerian Kesihatan.”

Hajah Rokiah berkongsi, di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pihak kerajaan telah bertindak pantas melakukan pelbagai usaha dan langkah signifikan yang menyeluruh untuk membendung penularan COVID-19 secara meluas di negara ini di samping menggalakkan usaha pemulihan ekonomi serta mengekalkan aktiviti-aktiviti sosial dan ekonomi.

Beliau berkata pada akhir Mac 2020, AMBD juga tidak ketinggalan dan turut serta menyokong Pakej Rangsangan Ekonomi Kerajaan.

“Dengan membenarkan pihak bank dan syarikat kewangan untuk menangguhkan sementara bayaran balik pinjaman, bebanan individu dan perniagaan yang terjejas oleh COVID-19 dapat dikurangkan,” tambahnya.

Pengecualian daripada yuran dan caj bagi pemindahan dana antara bank tempatan kepada semua pelanggan bank juga berhasil dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Bank-bank Brunei.

“Secara keseluruhannya, tahun 2020 bukan sahaja menunjukkan kedayatahanan AMBD serta ketangkasan untuk menyesuaikan diri dengan norma baru, bahkan ia mencerminkan kemapanan sistem kewangan negara yang terus berdaya tahan,” katannya.

Menyentuh mengenai Seminar sempena Menyambut Ulang Tahun Penubuhan AMBD itu, Hajah Rokiah menjelaskan ia dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai peranan AMBD dan pada masa yang sama untuk mengongsi sedikit sebanyak sejarah dan perjalanan yang telah diharungi.

Melalui seminar itu juga, pihak AMBD juga menyampaikan mengenai tugas dan tanggungjawab utama AMBD serta kaitannya dalam menyumbang kepada ekonomi negara.

Seminar juga sebagai wadah untuk melibatkan dan mengongsi hala tuju AMBD pada masa hadapan dan diharap akan menyuntik kesedaran khususnya terhadap isu-isu yang berkemungkinan mempunyai kepentingan bersama.

“AMBD mengalu-alukan kolaborasi dan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang berkenaan ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035,” tambahnya.