NAIROBI – Felix Asuma telah mengikuti kursus kejuruteraan awam dengan harapan dan tujuan untuk mengembang majukan lagi sektor infrastruktur pengangkutan di Kenya.
Penyelia Bengkel Hal Ehwal Umum yang berusia 27 tahun di Keretapi Standard Gauge Nairobi-Mombasa (SGR) telah mengambil peluang untuk mengikuti sesi lawatan di China untuk mempelajari kemahiran yang diperlukan untuk mengendalikan kereta api moden.
Semasa temu bual dengan Xinhua, Asuma telah menjelaskan bahawa dia berasa sangat berbangga untuk menjadi antara pemuda Kenya yang memiliki kepakaran dalam mengendalikan perkhidmatan kereta api SGR sejak dilancarkan pada 31 Mei tahun lepas.
“Pengalaman yang saya perolehi sejak tahun lalu berkhidmat di komuter SGR adalah sangat bermanfaat. Ia beroperasi dengan bantuan teknologi canggih dari China yang memang saya ketahui dan atas kerjasama bersama dengan jurutera China, setentunya saya berasa sangat yakin akan kemahiran untuk mengendalikan operasi dan penyelenggaraannya,” jelas Asuma.
Dia mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Awam di Universiti Southwest Jiaotong di bawah skim biasiswa kerajaan China.
Asuma juga turut mempelajari Bahasa Cina selama satu tahun di Shanghai dan kemahirannya dalam bertutur bahasa tersebut di samping keupayaannya dalam mengendalikan operasi kejuruteraan memang secara tidak langsung telah melayakkan dirinya untuk menjawat pekerjaan di Syarikat Operasi Kereta api Africa Star.
Rutin pekerjaannya adalah melibatkan aspek pemantauan keselamatan trek kereta api di mana ia bertujuan untuk memastikannya tidak dicerobohi oleh hidupan liar atau ternakan yang boleh meningkatkan risiko kemalangan terhadap kereta api yang beroperasi di kawasan tersebut.
Asuma memang berhasrat untuk meningkatkan perkhidmatan kereta api SGR itu dengan harapan untuk mengubah nasib kehidupannya sekali gus meningkatkan taraf ekonomi kehidupan di Kenya.
“Saya memang telah banyak menimba ilmu pengetahuan dalam bidang kejuruteraan awam sejak menyertai SGR dalam tempoh satu tahun enam bulan. Ia secara tidak langsung telah memberikan kelebihan kepada diri saya untuk meningkatkan ekonomi sekali gus memendekkan tempoh pengembaraan di antara Nairobi dengan Mombasa,” jelas Asuma kepada Xinhua.
Pada 31 Mei lalu, Presiden Uhuru Kenyatta telah melancarkan perkhidmatan kereta api moden sepanjang 480 kilometer atas pembiayaan China bagi menghubungkan ibu negara, Nairobi menuju ke bandr pelabuhan, Mombasa.
Dinamakan Madaraka Express, kereta api komuter SGR itu berupaya untuk menghubungkan kira-kira 1.3 juta penumpang sambil turut mendorong untuk melakukan aktiviti perdagangan di sepanjang koridor.
Pelancaran Madaraka Express itu secara tidak langsung telah membuka peluang pekerjaan kepada belia di Kenya seperti kejuruteraan, kewangan, perhotelan dan perhubungan.
Harrison Kimani, seorang warga yang memiliki latar pendidikan dalam bidang ekonomi dari Universiti Kenyatta telah mula berkhidmat di Kereta api Komuter SGR bermula Februari 2017 sebagai Penolong Pengurus yang bertanggungjawab untuk memberi bantuan kepada penumpang.
Pekerja berusia 23 tahun itu telah berkesempatan untuk mengunjungi China pada tahun 2016 untuk menyertai kursus selama empat bulan untuk mempelajari teknik kawalan operasi kereta api dan mengakui telah berjaya mengambil manfaat daripada kursus tersebut bagi menguruskan pengendalian sistem perkhidmatan keretapi moden.
“Setentunya ia merupakan satu pengalaman yang sangat menyeronokkan kerana berpeluang mempelajari mengenai kemahiran dan teknik pengendalian operasi kereta api tersebut di mana ia secara tidak langsung dapat diaplikasikan dalam pengendalian kereta api SGR ini,” jelas Kimani.
Alumni Universiti Confucius Kenyatta yang fasih berbahasa Mandarin itu menyimpan cita-cita untuk menjadi sebahagian daripada pasukan dalam pengendalian perkhidmatan komuter SGR setelah pihak berkuasa Kenya mengambil alihnya daripada CRBC.
Kimani bertanggungjawab dalam memastikan kru Kenya telah memberikan kualiti perkhidmatan baik kepada pelanggan di sepanjang mengikuti Madaraka Express.
Dia turut menjelaskan bahawa peluang bekerjasama dengan rakan kerja berbangsa Cina merupakan satu kelebihan yang tiada tolok bandingnya.
Rakan kerja berbangsa Cina telah mengongsikan ilmu mengenai cara untuk mengekalkan piawaian profesional dan turut mematuhi etika kerja tertentu seperti menghormati dan menguruskan waktu dengan baik,” jelas Kimani.
Dia turut menjelaskan bahawa pekerja tempatan di SGR juga kelihatan seronok untuk mengajarkan bahasa ibunda dan budaya bangsa Afrika Timur kepada rakan sekerja mereka yang berbangsa Cina.
Kimani turut menekankan bahawa kebanyakan pekerja tempatan memang cukup bersemangat dalam mengendalikan setiap operasi di stesen kereta api tersebut termasuk turut mengawal tahap kesabaran tatkala berhadapan dengan pelbagai cabaran.
“Buat masa ini, kita harus sentiasa bersabar dan terus mempelajari akan kemahiran dan pengendalian teknologi yang setentunya memiliki manfaat tersendiri kepada negara,” jelas Kimani.
Dia turut menambah bahawa Kenya memang memiliki harapan untuk berkembang maju apabila penduduknya dapat mempelajari pelbagai kemahiran dan menimba pengalaman dengan pekerja dari China yang sangat berkemahiran dalam mengendalikan perkhidmatan kereta api itu.
Belia Kenya juga kelihatan sangat bersemangat dan cukup tangkas dalam melakukan kerja-kerja pengendalian komuter SGR itu sekali gus membuktikan bahawa mereka sangat berpotensi dalam memacu kemajuan negara.
Sharon Chelangat, 22 tahun yang memiliki latar pendidikan dalam bidang komunikasi bertugas selaku kru di Madaraka Express menjelaskan bahawa peluang untuk memberikan perkhidmatan kepada warga tempatan dan pelancong asing merupakan satu pengalaman yang sangat berharga.
Sementara Kennedy Chemeitoi yang bertugas sebagai Kerani Hal Ehwal menjelaskan bahawa dirinya memang telah mempelajari mengenai selok belok pekerjaan sejak bertugas di syarikat itu.
“Kerja lapangan yang saya lalui setentunya tidak sama dengan apa yang dinyatakan di dalam buku namun mentor saya yang berbangsa Cina sedikit sebanyak telah banyak membantu saya dalam melaksanakan tugas dengan baik,” jelas Chemeitoi.
Chemeitoi merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Peking, sebuah universiti terkemuka di China.
Kini, dia dibimbing oleh seorang mentor dari China dan turut menghadiri ujian pada setiap bulan.
“Warga China memang sangat bertanggungjawab dan mereka sangat berharap agar setiap individu yang mereka bimbing akan berupaya untuk menguasai kepakaran tersebut,” jelas Chemeitoi.
“Saya sangat berharap agar kerjasama di antara China dan Kenya bakal berlangsung secara berterusan di mana ia setentunya dapat memberikan pembangunan ekonomi kepada negara,” tambah Chemeitoi yang mengakui memang berasa sangat seronok kerana berpelung menjadi sebahagian daripada kru kereta api itu. – Xinhua