Friday, December 6, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemajuan teknologi tingkat perhubungan di Alaska

    ANCHORAGE – Jeff Kowunna telah menggunakan dron miliknya untuk merakamkan salah satu acara sekali gus menonjolkan lagi kejayaan dan aspek kemajuan di salah satu penempatan tertua di Alaska.

    Rakaman video selama tiga hari itu menampilkan aksi seorang kapten bersama dengan ikan puas yang diiringi dengan kemeriahan persembahan tarian dan permainan dram tradisi dipersembahkan oleh warga tempatan yang berlangsung di Point Hope, salah satu kawasan terpencil di pinggir Lautan Artik.

    Bagaimanapun rancangannya untuk mengongsikan rakaman video itu di media sosial terbantut kerana liputan Internet di kawasan itu yang agak terhad.

    Bulan ini, lelaki berusia 34 tahun itu bersama kumpulan rakan kerjanya merangkumi komuniti seramai 700 orang telah gigih bekerjasama untuk menghubungkan Internet berkelajuan tinggi di kawasan terpencil di Alaska itu.

    “Saya telah lama menghitung hari untuk menghubungkan Internet pada tahap kelajuan yang tinggi bagi mengongsikan pelbagai detik bersejarah seperti acara Qagruk pada bulan Jun dan juga menghubungkan penduduk tempatan dengan ahli keluarga dan rakan-rakan yang jauh di mata namun tetap di hati,” jelas Kowunna.

    Jens Laipenieks menjelaskan walaupun peningkatan pada perkhidmatan Internet ini memakan kos yang tinggi namun dari sudut positifnya ia dapat menghubungkan penduduk setempat dengan dunia luar. – AP

    Perkhidmatan baru itu merupakan sebahagian daripada sistem optik-fiber daripada pemborong terbesar di Anchorage yang boleh menghubungkan di antara London dan Tokyo melalui Artik.

    Menurut wakil syarikat itu, kejayaan kru pekerja menghubungkan kabel di kawasan lautan itu disokong oleh pelbagai faktor merangkumi kemajuan teknologi, peningkatan kepercayaan yang diberikan oleh pelabur swasta dan persekitaran Artik yang memiliki iklim panas secara berkala kebelakangan ini. “Jika diimbas kembali pada waktu 10 atau 20 tahun lalu, persekitaran dingin yang membuatkan kawasan persekitaran seolah-olah sedikit sebanyak turut menghalang kejayaan terhadap projek ini sehingga ia sukar untuk dilaksanakan,” jelas jurucakap Quintillion, Tim Woolston.

    “Projek ini memang cukup kritis dan sangat mencabar memandangkan usaha untuk menghubungkan sistem jalur lebar pada kawasan yang jauh dari bandar setentunya memerlukan kos yang tinggi,” jelas Mike Romano yang bertugas di Persatuan Sistem Jalur Lebar Kawasan Perkampungan, NTCA yang turut mewakili 850 perkhidmatan telekom dan jalur lebar di AS dan Kanada.

    Projek antarabangsa merangkumi kawasan sejauh 1,400 batu itu meliputi Fairbanks dan kawasan pelantar minyak, Prudhoe Bay.

    Setakat ini, Quintillion belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kos pelaburan yang telah dikeluarkan untuk membiayai projek tersebut dan majoriti kos itu telah dibiayai oleh firma ekuiti swasta, New York Cooper Investment Partners.

    Kru kapal telah selamat melakukan proses pemasangan kabel di bawah laut yang merupakan segmen terakhir di Alaska pada Oktober lalu dan liputan dilaporkan telah mula dapat diakses sejak awal Disember lalu.

    Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Persatuan Telefon Artik Slope, Jens Laipenieks menjelaskan bahawa peningkatan pada perkhidmatan ini setentunya memperuntukkan kos yang tinggi namun dari sudut positifnya ia dapat menghubungkan penduduk setempat dengan dunia luar.

    Jika dilihat dari sudut lain, nilai komiditi di kawasan Alaska memang berada pada paras yang tinggi di mana segelen air susu boleh mencecah sehingga kadar AS$10 dalam mengambil kira kos penerbangan dan penghantaran.

    Maka, dalam peningkatan sistem Internet yang telah dilaksanakan ini setentunya ia memerlukan kos yang cukup tinggi.

    Pemasangan kabel di bawah laut juga telah berjaya dilaksanakan pada sekitar bulan Oktober dengan harapan untuk meningkatkan perhubungan di kawasan terpencil di Alaska. – AP
    Cuaca sejuk jelas tidak menjadi penghalang kepada pemasangan alat penghubung bagi meningkatkan liputan Internet di kawasan terpencil di Alaska. – AP

    “Perkara tersebut memang merupakan hakikat yang wajar diterima di kawasan perkampungan terutama dalam mengambil kira aspek peluasan teknologi,” jelas Laipenieks.

    Di Point Hope, salah seorang artis dan pembuat bot tradisi, Henry Koonook melahirkan rasa bimbang berhubung kemajuan teknologi yang berpotensi untuk menjadi satu gangguan terbaru bagi penduduk setempatnya sehingga membuatkan mereka lebih lalai.

    “Kotak kecil tersebut yang dikenali sebagai komputer riba dan iPhone sedikit sebanyak turut menjadikan individu itu menjadi lalai walaupun ia turut membantu dalam pendidikan hakikatnya ia secara perlahan-lahan turut menghakis budaya dan tradisi masyarakat,” jelas Koonook.

    Namun ada juga pihak yang turut menyambut baik dan bersyukur terhadap kemajuan teknologi ini.

    Arctic Slope Regional Corp., salah sebuah syarikat di Alaska dan pelabur minoriti dalam projek ini juga telah membangunkan sebuah kedai dalam talian yang bakal menampilkan karya seni yang dihasilkan oleh pemegang sahamnya, menjadi platform pelancongan kepada lapan kawasan perkampungan dan turut mengongsikan kisah-kisah menarik daripada penduduk setempat.

    “Setakat ini segala perhubungan kelihatan agak terbatas dan masalah tersebut dijangka dapat di atasi dengan kehadiran teknologi terbaru ini,” jelas Ketua Pegawai Pentadbirannya, Cheryl Stine.

    North Slope Borough yang berpangkalan di Point Hope dan Utqiagvik juga berusaha untuk membangunkan laman web yang mengumpulkan maklumat mengenai sejarah, bahasa dan budaya.

    “Laman web tersebut akan menampilkan sejarah, budaya dan bahasa Puiguitkaat dan Inupiaq agar ia tidak hilang ditelan zaman,” jelas Kathy Ahgeak yang mengetuai syarikat tersebut.

    “Alaska memang memiliki keistimewaan budaya dan tradisinya yang tersendiri dan warisan tersebut wajar untuk terus dipelihara agar ia tetap akan diketahui oleh generasi akan datang,” jelas Ahgeak. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda