Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemalangan bas di Himalaya, 36 maut

    DEHRADUN, 4 NOV – Sebuah bas di India terjunam ke dalam gaung yang dalam di kawasan pergunungan Himalaya hari ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 36 penumpang maut dan beberapa yang lain cedera, kata seorang pegawai kerajaan hari ini.

    Gambar yang dikeluarkan oleh pasukan penyelamat kerajaan menunjukkan rangka bas yang remuk di celah-celah semak tebal, dengan bahagian hadapan kenderaan yang bengkok hampir rata.

    Kemalangan jalan raya adalah perkara biasa di sepanjang jalan pergunungan di rantau Himalaya, yang kebanyakannya disebabkan oleh penyelenggaraan yang lemah dan pemanduan melulu di kawasan yang berliku-liku.

    “Setakat ini, 36 kematian telah disahkan,” kata Deepak Rawat, seorang pegawai kanan dari negeri utara Uttarakhand kepada pemberita.

    “Tiga mangsa yang cedera parah telah dihantar ke hospital menggunakan helikopter.”

    Rangka bas yang remuk di celah-celah belukar tebal, dengan bahagian hadapan kenderaan yang rosak teruk setelah terlibat dalam kemalangan di kawasan pergunungan Himalaya, kelmarin. – AFP

    Sekumpulan sukarelawan membarisi lereng curam dan menyeberangi sungai yang deras, membantu mengeluarkan mangsa yang cedera dari sisa-sisa bas. Mayat-mayat yang terkorban dibawa keluar dan diletakkan di bahagian belakang sebuah trak.

    Perdana Menteri India, Narendra Modi menyampaikan “ucapan takziah yang mendalam kepada mereka yang kehilangan orang tersayang dalam kemalangan jalan raya yang malang ini.”

    Pejabat Modi dalam satu kenyataan menyatakan bahawa keluarga mangsa yang terbunuh akan menerima bantuan sebanyak 200,000 rupee, manakala mereka yang cedera akan menerima 50,000 rupee.

    Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami, berkata beliau telah mengarahkan siasatan dijalankan berhubung kemalangan itu, yang berlaku di kawasan perbukitan berhutan berhampiran bandar Almora.

    Ratusan orang maut dalam kemalangan jalan raya di India setiap tahun. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda