Kemalangan bas ragut 22 nyawa

BAMAKO, 29 JULAI – Seramai 22 orang terbunuh dan 21 lagi cedera di selatan Mali semalam selepas bas yang dinaiki bertembung dengan trak sampah, kata Kementerian Pengangkutannya.

Kemalangan berlaku sekitar jam 9 pagi di lebuh raya kebangsaan yang menghubungkan bandar Kangaba berdekatan sempadan Guinea ke Bancoumana di timur Afrika Barat.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata seramai 19 orang terbunuh di tempat kejadian dan tujuh lagi dilaporkan mengalami kecederaan parah.

“Semua yang cedera dibawa ke hospital di ibu negara Bamako.

“Kemalangan dipercayai berlaku kerana bas dipandu laju dan tidak mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.

Kemalangan jalan raya adalah perkara biasa di Mali, di mana keadaan lebuh raya yang teruk menjadi punca ketegangan sosial.

Seramai 20 orang terbunuh pada 20 Mei lalu selepas kemalangan yang membabitkan bas dan lori bertembung di selatan negara itu. – AFP