Kemalangan bot di Phuket: Tiga lagi mayat ditemui

PHUKET, 10 Julai – Seorang pegawai tempatan berkata hari ini bahawa pasukan mencari dan menyelamat telah menemui tiga lagi mayat penumpang yang kemungkinan besar menjadi mangsa yang terkorban dalam kemalangan bot pelancong di luar pantai pulau Thailand Phuket Khamis lalu.

Gabenor Wilayah Phuket, Norraphat Plodthong memberitahu sidang akhbar di pusat arahan untuk meneruskan misi pencarian dan menyelamat. Setakat ini pegawai Thailand dan China mengesahkan lima penumpang selamat, yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas kemalangan itu berlaku dan tiga daripadanya telah kembali ke China.

Naib Laksamana Somnuk Preampramot, komander Pemerintah Kawasan Ketiga Tentera Laut Diraja Thailand, berkata dua mayat ditemui dengan bantuan nelayan tempatan di pulau Maithon Isnin lalu dan satu lagi mayat dilaporkan oleh penduduk yang tinggal di Pulau Phi Phi pagi hari ini.

Ketiga mayat yang baru ditemui itu dibawa ke Hospital Vachira Phuket dan pihak berkuasa sedang mengenal pasti kewarganegaraan mereka dan maklumat lain. Sekiranya tiga mayat yang baru ditemui itu disahkan sebagai penumpang bot ‘Phoenix’, angka kematian daripada kemalangan tersebut telah mencecah 45 orang dan masih ada dua penumpang yang hilang, menurut gabenor.

Hospital Vachira Phuket setakat ini menerima 44 mayat dan mangsa lainnya dipercayai masih terperangkap dalam rangka kapal Phoenix.

Gambar fail pada 8 Julai 2018 menunjukkan para pelancong ketika bersiar menaiki bot pelancongan di dermaga Chalong di Phuket, Thailand. Seorang pegawai tempatan berkata, pasukan mencari dan menyelamat telah menemui tiga lagi mayat yang kemungkinan besar merupakan mangsa yang terkorban dalam kemalangan bot pelancong di luar pantai pulau Thailand Phuket. – AFP

Menurut pegawai kesihatan, sebanyak 37 mayat telah dikenal pasti dan 33 mayat lagi telah disahkan oleh keluarga mereka.

Pihak berkuasa kesihatan telah mengeluarkan 32 sijil kematian dan 26 mayat sedia untuk dikembalikan kepada keluarga mereka.

Somnuk berkata tentera laut tidak akan berputus asa untuk meneruskan operasi pencarian bagi mangsa yang masih hilang, walaupun operasi menyelamat untuk mangsa bot ‘Phoenix’ ditangguhkan hari ini disebabkan oleh keadaan angin yang kuat dan laut yang bergelora.

Kapal ‘Phoenix’ dan bot lain ‘Serenita’ terbalik dan tenggelam pada 5 Julai lalu.

Polis Thailand telah mendakwa kapten ‘Phoenix’ kerana telah menyebabkan kematian dan menuduh kapten ‘Serenita’ atas dakwaan kecuaian yang telah menyebabkan kemarahan orang ramai.

Semua penumpang yang berada di atas kapal ‘Serenita’ dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Phuket Mejar Jeneral Theerapol Thipcharoen hari ini berkata kedua-dua kapten bot tersebut ditahan di penjara di pulau Phuket. Manakala pengurus pemilik syarikat ‘Serenita’ juga telah ditahan. – Xinhua