AMALKAN sifat positif Rasulullah SAW iaitu tabligh, siddiq, amanah dan fatanah untuk membina kekuatan diri yang kukuh dan mendapat kesejahteraan hidup dunia serta akhirat. Menurut ulama, kekuatan imej diri diukur pada empat sifat dan situasi.
Pertama, buat jahat kepada orang yang berbuat jahat dengan kita, itu tandanya kita berdendam.
Kedua, buat jahat kepada orang yang buat baik kepada kita, itu satu kekejaman atau tidak mengenang budi.
Ketiga, buat baik kepada orang yang buat baik kepada kita, itu fitrah yang mudah dilaksanakan (bahagia membahagiakan).
Keempat, buat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita, ini sunah yang sukar dilaksanakan (orang tenang, sentiasa menang).
Sifat keempat itulah sifat Rasulullah SAW yang tenang dan sabar kerana walaupun berhadapan situasi negatif, Baginda tetap positif. Jika berhadapan kebencian orang, dibalas Baginda dengan kasih sayang. Berhadapan kemarahan orang, dihadapi dengan kesabaran. Jangan berasa diri lebih besar daripada sesiapa pun dan jika bercakap hendak menang sahaja atau berasa kitalah yang pandai serta serba tahu hingga langsung tidak mahu mendengar pandangan orang.
Jauhi ego
Jadilah orang yang suka bekerjasama. Apabila bercakap sentiasa menjaga silaturahim. Didiklah hati penuh kasih sayang, melihat kebaikan dalam semua orang dan suasana. Sangat bermurah hati dan suka membantu. Elak menjadi orang yang senang melihat orang lain susah dan susah melihat orang senang.
Jadilah seorang yang kehadiran disenangi dan susah apabila ketiadaan kerana orang sentiasa mendapat manfaat daripada kita. Jauhi sifat ‘kesedaran keegoan’ kepada sifat ‘kesedaran ketuhanan’ yakni daripada mengikut nafsu kepada mengikut iman, daripada maksiat kepada taat, daripada didekati syaitan kepada didekati malaikat dan daripada dosa kepada pahala sehingga mendapat kemanisan beribadah.
Diriwayatkan oleh Anas: “Terdapat tiga perkara yang padanya terdapat kemanisan iman iaitu dia menyayangi Allah S.W.T dan rasul-Nya melebihi daripada cinta kepada selain kedua-duanya, dia menyayangi seseorang tetapi tidak lebih daripada menyayangi Allah SWT dan sangat benci kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam api neraka.”
Kemanisan iman bermakna kita dapat merasakan kelazatan beribadah, melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT, ajaran Rasulullah SAW dan berkemampuan menghadapi kesulitan serta mengutamakan agama daripada hal keduniaan.
Rebut tiga peluang
Kita juga cenderung melaksanakan yang fardu dan membiasakan diri melakukan perkara sunah. Memperkuatkan dasar iman atau pohon iman iaitu pergantungan hidup diserahkan kepada Allah SWT dan tidak ‘bertuhankan manusia’ walau bagaimana tingginya kuasa manusia itu.


Rebutlah tiga peluang untuk mendapatkan kemanisan iman dengan penekanan kepada tiga perkara iaitu bila, siapa dan apakah. Bilakah waktu yang sesuai, jawapannya ialah sekarang maka rebutlah kemanisan iman itu.
Kedua, siapakah orang yang paling penting? Mereka adalah yang di hadapan kita atau paling dekat seperti keluarga. Justeru, ajaklah keluarga rebut kemanisan iman.
Apakah amalan penting, maka jawapannya ialah berbuat baik serta memberi manfaat untuk merebut kemanisan iman. Menjaga akhlak sesama manusia dengan menghormati diri, tidak melakukan perkara yang menjatuhkan martabat dan maruah sebagai seorang Islam.
Contohnya, jaga aurat dan batas hubungan antara lelaki dengan perempuan. Seterusnya, menjaga tingkah laku dan tutur kata jangan sampai menyinggung perasaan orang lain. Mulakan dengan akhlak bersama suami atau isteri, anak, ibu bapa, mentua, adik beradik, ipar duai, pembantu rumah, jiran tetangga, rakan sekerja serta majikan.
Hargai nikmat
Kemanisan iman memberikan nikmat jika bijak memanfaatkan kesempatan dan peluang yang ada di hadapan kita. Sering kali berlaku kita tidak menghargai apa yang ada dalam genggaman atau di hadapan mata. Apabila kita hilang segala nikmat itu, baru kita menghargainya.
Empat perkara yang berlaku, kita akan terasa nikmat waktu muda apabila sudah tua. nikmat keamanan apabila datangnya ancaman, nikmat sihat setelah sakit, nikmat hidup tidak dirasa setelah kita mati. Kemanisan iman mendidik kita menjadi sangat sabar, reda dan sentiasa bersyukur.
Orang sabar akan menghasilkan penampilan diri yang tenang dan kita akan mendapat ketenangan dalaman jika sabar serta reda. Orang yang tidak tenang akan banyak emosi negatif dalam diri seperti rasa takut, cemburu, dengki, sedih, marah, tidak ikhlas, tidak reda dengan ketentuan Allah SWT.
Oleh itu, rebutlah peluang hari ini untuk mendapatkan nikmat kemanisan iman sebelum terlambat.