Kemantapan teknologi ICT

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Penaung Diraja Anugerah ICT Brunei (BICTA) telah berkenan menyempurnakan penganugerahan hadiah pada Majlis Anugerah ICT Brunei 2018 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pagi tadi.

Tahun ini, Anugerah BICTA telahpun diraih oleh Mindplus Sdn Bhd dengan produknya Mindtrex dan Mindplus Sdn Bhd juga telah menjadi juara bagi Kategori ICT Industri.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Mindplus Education Sdn Bhd, Pengiran Mohd Khairi bin Pengiran Haji Metussin, Mindtrex adalah aplikasi untuk melonjakkan keputusan akademik keseluruhan dengan bantuan teknologi maju menggunakan teknologi kecerdasan buatan.

“Kumpulan sasar ialah pelajar pra universiti seluruh dunia bagi membolehkan mereka membuat pembelajaran mendalam yang dikhususkan, intelligent tutoring, penilaian tindak balas secara terbuka dan analisis kata pedagogi dengan bantuan kecerdasan buatan,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, buat masa ini aplikasi Mindtrex memfokuskan kepada pengguna di Indonesia bersama rakan kongsinya yang akan dilancarkan bulan depan bagi lima buah bandar terbesar di negara itu. Manakala bagi Negara Brunei Darussalam, ia diharap akan dilancarkan pada tahun hadapan selain mengharapkannya dapat diperkembangkan lagi ke seluruh rantau Asia Tenggara pada masa hadapan.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menyempurnakan penganugerahan hadiah bagi Kategori Projek Sekolah kepada Kumpulan Sekolah St John, Kuala Belait.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menyempurnakan penganugerahan hadiah bagi Kategori Pengajian Tinggi kepada pelajar Universiti Teknologi Brunei (UTB).

Tambahnya, kemenangan hari ini amatlah tidak disangka-sangka dan beliau melahirkan rasa gembira dan terima kasih kepada kumpulannya yang tidak putus-putus berusaha bagi menjayakan produk Mindtrex ini.

Manakala juara Kategori Projek Pengajian Tinggi ialah Universiti Teknologi Brunei (UTB) dengan produk Mechsim.

Pengajar Teknikal Kanan dan jurucakap UTB, Dayang Sarinah binti Ziziumiza semasa ditemui menyatakan MechSim adalah sebuah produk simulasi pemasangan virtual untuk pembelajaran asas dan latihan bagi para pelajar dan pekerja dengan penggunaan sensor realiti visual dan Leap Motion.

Beliau yang bersama adiknya, Dayang Nursheila binti Ziziumiza juga melahirkan rasa gembira kerana tidak menjangka mendapat tempat ketiga bagi Kategori Projek Pengajian Tinggi dengan produknya GoBacker.

Beliau berkata, MechSim berfungsi sebagai alat untuk meningkatkan kecekapan latihan pemasangan dan pembukaan. Kumpulan sasar untuk produk ini ialah pelajar dalam bidang kejuruteraan dan golongan pekerja.

Antara ciri-ciri produk ini adalah termasuk pandangan panaroma 360 darjah dalam perspektif pengguna, pengesanan interaktif dalam persekitaran simulasi yang serba interaktif.

Sementara itu, menurut Ketua Kumpulan Sekolah St John, Kuala Belait, Freyalise Sebastian semasa ditemui pihak media pula melahirkan rasa teruja apabila kumpulannya berjaya menjadi juara Kategori Projek Sekolah dengan produk aplikasi Hope Mental Health (HOPE).

Beliau menjelaskan lagi, HOPE adalah aplikasi kesihatan mental bagi membantu individu yang mengalami kemurungan, kegelisahan, gangguan panik dan lain-lain dan aplikasi ini telah mula dirancang dan kemudian dibuat bermula pada bulan Mei yang lalu dengan bimbingan guru-guru sekolah mereka.

HOPE jelasnya lagi, disediakan untuk orang yang memerlukan bantuan psikiatri dan ia membantu mereka yang memerlukan melihat bahawa kehidupan amat berharga dan ini diharap akan membawa ke arah kebahagiaan, bersikap positif, kedamaian dan seterusnya minda yang sihat.

Dengan aplikasi ini, beliau berharap akan dapat menggurangkan lagi kadar bunuh diri di negara ini sehingga mencecah angka sifar.

Freyalise Sebastian dan empat lagi rakannya bersama guru pengawas, Shulamite Gonzales Sebastian juga berharap agar aplikasi HOPE ini dapat membantu menunjukkan kepada orang ramai khususnya mereka yang memerlukan bantuan agar dapat membentuk sebuah komuniti yang harmoni dan positif.